Wednesday, May 20, 2015

3 PAKEJ MENUTUP AURAT YANG SERING DILEPAS PANDANG

3 PAKEJ MENUTUP AURAT YANG SERING DILEPAS PANDANG

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-A’raf [7:26]) pada 16 Mei 2015. Antara isunya adalah kesilapan sesetengah umat Islam memahami tuntutan menutup aurat.

“Alah! Saya tak pakai tudung pun, saya tak pernah tinggal solat. Saya tak mengumpat. Saya tak mewangi mengalahkan Pontianak. Saya tak mengampu atau mencuri kerja orang lain. Saya tak berpakaian ketat menjolok mata. Saya juga tak tikam belakang orang lain. Mana lebih baik? Kawan saya tudungnya labuh meleret tapi mengumpat pun sama panjang leretannya. Sekan dialah “Presiden Kelab Mengumpat” di pejabat saya. Kawan saya bertudung bawal tapi wanginya menggoda, gediknya mengancam jiwa. Kawan saya bertudung litup tapi baju kurungnya ketat membungkus tubuh. Berpakaian atau tidak seakan sama sahaja.”

Itu antara dialog sentap yang menjadi “hujah dangkal” sesetengah orang yang tidak mahu menutup aurat. Memang manusia jahil sukar membezakan antara keindahan Islam dan kejahilan Muslim. Boleh saja hujah rapuh mereka dibalas berjela, tapi itu bukanlah suatu penyelesaian menyeluruh. Ia seumpama mencuci sungai yang tercemar di hilir, sedang aktiviti pembuangan sampah di hulu sungai berterusan berlaku. 

Rupanya al-Quran menjelaskan “3 PAKEJ MENUTUP AURAT” yang sering dilepas pandang sesetengah manusia:

يَا بَنِي آَدَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآَتِكُمْ وَرِيشًا وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ آَيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ (26)

Ertinya:  Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) (1) PAKAIAN MENUTUP AURAT KAMU, DAN (2) PAKAIAN PERHIASAN; DAN (3) PAKAIAN YANG BERUPA TAQWA ITULAH YANG SEBAIK-BAIKNYA. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur) (al-A’raf [7:26]).

Menutup aurat dalam al-Quran merangkumi memakai PAKAIAN ZAHIR dan BATIN (AKHLAK). Dari 2 bahagian pakaian itu, Allah memperincikannya menjadi 3 jenis:

1) Pakaian sempurna menutup aurat. Tudung kepala mesti menutup belahan dada, tidak ketat menampakkan susuk tubuh (bagi lelaki dan wanita), tidak nipis jarang menampakkan kulit, tidak menarik perhatian dengan wangian semerbak serta “TAMPALAN WARNA MUKA SEPERTI OPERA CINA.” Perincian mengenai “standard” menutup aurat boleh di rujuk pada surah al-Nur[24:30 & 31], al-Ahzab[33:59]) dan hadith ini:

صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ
كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ
وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا

Terjemahan hadith diambil dari Syarh Sahih Muslim karangan Imam al-Nawawi, ertinya: 2 golongan ahli neraka yang belum aku temui iaitu, (1) kaum (petugas pemerintah yang zalim) yang memiliki cemeti seperti ekor lembu dan memukul manusia dengannya, juga (2) wanita  yang berpakaian tetapi bertelanjang (berpakaian jarang, ketat sehingga menampakkan susuk tubuh),  mereka juga menyimpang daripada ketaatan (kepada Allah kerana tidak menjaga kehormatan diri), cenderung (kepada kaum lelaki dan menarik perhatian lelaki dengan lenggok jalan dan pergerakan bahunya). Kepala mereka bersanggul seperti bonggol unta. Mereka tidak akan memasuki syurga dan tidak berpeluang mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dihidu dalam tempoh perjalanan sekian dan sekian (jauh dan lamanya) (Sahih Muslim).

2) PAKAIAN CANTIK berhias. Mahu dilihat cantik adalah fitrah manusia, namun Islam membataskannya agar ia tidak keterlaluan menarik perhatian dan membazir.

3) PAKAIAN AKHLAK MULIA seiring dengan keindahan pakaian zahir.

Semua ayat yang berbicara mengenai arahan menutup aurat (al-Nur[24:30-31] & al-Ahzab[33:59]) mengandungi panggilan khusus “ORANG BERIMAN.” Iman orang yang berakhlak mulia tetapi tidak menutup aurat belum benar-benar sempurna kerana engkar arahan Allah. Kesukaran mematuhi arahan Allah itu menjadi tanda iman mereka belum subur. Mana mungkin mendakwa sudah memakai pakaian Taqwa jika arahan Allah belum dipenuhi.

Berpakaian sempurna tanpa akhlak mulia juga tidak bagus, bahkan fitnahnya jauh lebih berbisa. Wanita berhati mulia tapi tidak bertudung, rosaknya hanya dalam skala individu, tetapi wanita bertudung sempurna yang buruk akhlaknya mampu merosakkan imej Islam dalam skala lebih besar.

Ringkasnya, tanpa penyempurnaan 3 pakej itu, tuntutan menutup aurat masih belum sempurna. Kepada yang berakhlak mulia tapi belum menutup aurat secara sempurna, indahkan akhlak anda dengan menutup aurat kerana kasih Allah kepada anda akan turut sempurna. Kepada yang sudah menutup aurat dengan sempurna, indahkan juga akhlak anda agar Islam dilihat indah seiring dengan indahnya pakaian anda. Biar kita menjadi “magnet” menarik manusia kepada keindahan Islam dan bukan menjadi “kapak” meruntuhkan rumah Islam yang sudah sedia indah. Lihat dengan mata burung jangan dari bawah tempurung.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...