Sunday, April 12, 2015

TAUBAT SI LANUN KERANA PANGGILAN ALLAH

TAUBAT SI LANUN KERANA PANGGILAN ALLAH.

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota kelas Tafsir Khamis (al-Ma'idah [5:33-34]). Isunya hukuman keras kepada pengacau keamanan dan kegiatan melanun. Juga kisah taubat seorang lanun.

Jika diberi pilihan bertembung dengan sang  pontianak menghilai menyeringai taring atau sekumpulan lanun yang sedang tersenyum manis, pastinya kita memilih disapa pontianak. Tidak lain kerana senyum  si lanun jauh lebih bahaya dan beracun. Dalam senyum mereka mampu merampas, mencabul dan membunuh. Apa beza lanun dan pencuri? Pencuri mengambil secara tersembunyi, manakala lanun merampas secara terang kerana mereka memiliki kekuataan.  Kelibat mereka dengan kekuatan sedia ada memang meresahkan masyarakat. Itulah sebabnya mengapa hukuman pengacau awam atau lanun sangat keras. Firman Allah:

إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَنْ يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُمْ مِنْ خِلَافٍ أَوْ يُنْفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ۚ ذَٰلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا ۖ وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Sesungguhnya balasan orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau disalib (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.

إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِنْ قَبْلِ أَنْ تَقْدِرُوا عَلَيْهِمْ ۖ فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Ma'idah [5:33-34]).

Ayat di atas diturunkan berikutan keganasan sekumpulan orang dari kabilah 'Ukl dan Uraynah yang melakukan kejahatan melampau pada zaman Rasulullah. Asalnya mereka datang ke Madinah dan memeluk Islam. Mereka kemudiannya jatuh sakit kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan cuaca Madinah. Rasulullah meminta mereka keluar jauh dari Madinah dan menghantar pengembala unta  meminta mereka meminum susu dan kencing unta. Setelah sembuh mereka mengganas,  membunuh pengembala unta dan merampas semua unta tersebut. Mereka juga murtad dan meninggalkan Madinah. Mereka dikejar dan dihukum keras oleh Rasulullah iaitu tangan mereka dipotong secara bersilang, dicungkil mata dan dibiarkan mati di tengah panas (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Pun begitu, seganas mana sekalipun keganasan si lanun atau pengacau awam, mereka masih diberi sinar taubat dengan harapan pada hujung ayat ke 34 di atas. Kisahnya pada zaman khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan,  ada seorang lanun ganas bernama Ali al-Asadiyy. Sudah banyak usaha dibuat untuk menyedarkannya namun gagal. Pada suatu hari beliau terdengar seorang lelaki membaca ayat ini:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Zumar[39:53]).

Menurut para ulama Tafsir, inilah ayat yang paling menggembirakan  hati para hamba Allah (Tafsir Ibn Kathir). Benar! Harapan sangat penting kerana ia seumpama oksigen yang memberi harapan hidup. Menutup  harapan sama seperti membunuh jiwa insan.

Hatinya tersentuh mendengar harapan dalam ayat itu. Beliau kemudiannya menyarungkan pedangnya sebagai tanda taubat dan berjalan menuju Madinah. Beliau tiba pada waktu sahur, mandi dan mendatangi Masjid Nabawi. Menjelang pagi penduduk Madinah terkejut dengan taubat Ali. Beliau dibawa oleh Abu Hurayrah bertemu gabenor Madinah iaitu Marwan bin al-Hakam. Ringkasnya beliau tidak dihukum kerana Abu Hurayrah berhujah dengan ayat 34 surah al-Ma'idah. Ali kemudiannya merealisasikan taubatnya dengan keluar berjihad pada jalan Allah menentang Rom
(Ibn kathir).

Itu antara sejarah lanun zaman lampau, bagaimana pula lanun berlesen dalam negara yang merosakkan harta awam dengan rasuah? Jika ditangkap adakah perlu mereka disalib, dipotong kaki tangan secara bersilang atau dihumban ke dalam penjara? Atau talqinkan mereka dengan ayat 53 surah al-Zumar dan  doakan Taubat mereka. Ya Allah! Selamatkan Malaysia dari segala macam lanun samada lanun hakiki atau sesetengah manusia yang berperangai lanun.


* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...