Friday, April 3, 2015

RASULULLAH SAW SUDAH DISEBUT DALAM KITAB LAMA

RASULULLAH SAW SUDAH DISEBUT DALAM KITAB LAMA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Syu’ara’ [26:34-35]) pada 31 Mac 2015. Antara isunya adalah ramalan tentang kedatangan Rasulullah SAW dan al-Quran sudah lama disebut dalam kitab terdahulu.

“Ustaz! Buku ini sangat bagus untuk dibaca. Meluaskan ufuk minda kita tentang kerasulan nabi Muhammad SAW. Saya hadiahkan sebuah untuk Ustaz.”

Buku hadiah dari Haji Amdun yang bertajuk “Muhamad in the Vedas and Puranas” sangat bagus. Ia ditulis oleh pengkaji agama di sebuah Universiti di India. Kesimpulan isinya, sifat Rasulullah SAW sangat banyak disebut dalam kitab Hindu ini. Teringat lagi kata-kata Maulana Muhammad Asri bin Yusuf dalam pertemuan dengan beliau tempohari: “Berdasarkan kajian saya, agama Hindu asalnya sebuah agama Tawhid. Dalamnya disebut banyak sekali baginda SAW.”

Musyrikin Quraysh yang bebal lagi degil diingatkan Allah tentang kebenaran al-Quran dan baginda SAW:

وَإِنَّهُ لَفِي زُبُرِ الْأَوَّلِينَ (196) أَوَلَمْ يَكُنْ لَهُمْ آَيَةً أَنْ يَعْلَمَهُ عُلَمَاءُ بَنِي إِسْرَائِيلَ (197)

Ertinya: DAN SESUNGGUHNYA AL-QURAN (TERSEBUT JUGA PERIHALNYA DAN SEBAHAGIAN DARI PENGAJARAN-PENGAJARANNYA) DI DALAM KITAB-KITAB UGAMA ORANG-ORANG YANG TELAH LALU. (Tidakkah mereka yang musyrik sedarkan kebenaran itu) dan tidakkah menjadi satu keterangan kepada mereka bahawa pendita-pendita ugama Bani lsrail mengetahui akan kebenaran Al-Quran itu? (al-Syu’ara’[26:196-197]).

Yahudi Madinah sudah sekian lama beriman kepada al-Quran dan Rasulullah SAW jauh sebelum kemunculan keduanya:

وَلَمَّا جَاءَهُمْ كِتَابٌ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَهُمْ وَكَانُوا مِنْ قَبْلُ يَسْتَفْتِحُونَ عَلَى الَّذِينَ كَفَرُوا فَلَمَّا جَاءَهُمْ مَا عَرَفُوا كَفَرُوا بِهِ فَلَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الْكَافِرِينَ

Ertinya: DAN KETIKA DATANG KEPADA MEREKA SEBUAH KITAB DARI ALLAH (AL QURAN), YANG MENGESAHKAN APA YANG ADA PADA MEREKA (KITAB TAURAT), SEDANG MEREKA SEBELUM ITU SENTIASA MEMOHON (KEPADA ALLAH) KEMENANGAN ATAS KAUM KAFIR MUSYRIK (DENGAN KEDATANGAN SEORANG NABI PEMBAWA KITAB ITU). SETELAH DATANG KEPADA MEREKA APA YANG MEREKA SEDIA MENGETAHUI KEBENARANNYA (NABI MUHAMMAD DAN AL QURAN), MEREKA MENGINGKARINYA; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu (al-Baqarah [2:89]).

Membawa berita kedatangan lelaki istimewa bernama “Ahmad” juga termasuk dalam “KPI” nabi Isa AS:

وَإِذْ قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِنْ بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ فَلَمَّا جَاءَهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ قَالُوا هَذَا سِحْرٌ مُبِينٌ

Ertinya: Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, DAN MEMBERIKAN BERITA GEMBIRA DENGAN KEDATANGAN SEORANG RASUL YANG AKAN DATANG KEMUDIAN DARIPADAKU - BERNAMA: AHMAD". Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir yang jelas nyata!" (al-Saff[61:6]).

Tiada rugi apa pun jika Ahli Kitab menerima kerasulan baginda SAW dan al-Quran kerana hidup mereka dalam syariat bakal menjadi mudah. Tidak lain ini kerana Islam adalah syariat terakhir yang paling sesuai untuk hidup di akhir zaman:

الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الْأُمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِنْدَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَالْأَغْلَالَ الَّتِي كَانَتْ عَلَيْهِمْ فَالَّذِينَ آَمَنُوا بِهِ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنْزِلَ مَعَهُ أُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Ertinya: "Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; DAN IA MENGHALALKAN BAGI MEREKA SEGALA BENDA YANG BAIK, DAN MENGHARAMKAN KEPADA MEREKA SEGALA BENDA YANG BURUK; DAN IA JUGA MENGHAPUSKAN DARI MEREKA BEBAN-BEBAN DAN BELENGGU-BELENGGU YANG ADA PADA PADA MEREKA. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang Berjaya (al-A’raf[7:157]).

Teori saya berdasarkan ilmu yang sedikit, sesetengah agama dunia sekarang ini asalnya satu, setelah ribuan tahun kewafatan para rasul, ajaran mereka mulai dipesongkan. Walau bagaimanapun Allah sengaja menjaga isu “nabi terakhir dan kitabnya” dalam kitab agama lampau seperti Hindu, Yahudi, Kristian dan sebagainya bagi menyatukan kembali semua manusia di akhir zaman di bawah payung Islam. Cuma yang tinggal sejauh mana usaha kita sebagai Muslim mempromosikan Islam kepada semua dalam suasana yang harmoni. Semoga Allah berikan kekuatan kepada kita semua.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...