Sunday, April 19, 2015

MENGAPA DIDAHULUKAN PENCURI LELAKI DAN PENZINA WANITA?

MENGAPA DIDAHULUKAN PENCURI LELAKI DAN PENZINA WANITA?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Khamis (al-Ma’idah [5:38]) pada 16 April 2015. Antara isunya adalah hikmah Allah mendahulukan sebutan pencuri lelaki berbanding pencuri wanita dalam isu curi dan mendahulukan penzina wanita berbanding penzina lelaki dalam isu zina.

Subhanallah! Disangka ianya suatu kesilapan, tapi ia adalah bukti kebijaksanaan yang luar biasa Allah sebagai Tuhan Yang Maha Bijaksana. Kebijaksanaan Allah terlimpah dalam al-Quran pada setiap sudut ayatnya. Manusia yang mengkaji al-Quran akan mabuk melihat kesempurnaan ini. Ketika berbicara mengenai jenayah curi, Allah menyebut susunan pencuri lelaki mendahului pencuri wanita:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Ertinya: “DAN PENCURI LELAKI” serta pencuri perempuan maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (al-Ma’idah [5:38]).

Ketika membicarakan jenayah zina pula, Allah mendahulukan penzina wanita berbanding penzina lelaki:

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِئَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Ertinya: “PEREMPUAN YANG BERZINA” dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman (al-Nur[24:2])

Pastinya susunan ini tidak berlaku secara kebetulan. Kaum lelaki usahlah terhiris jiwa kerana jenayah mencuri didahulukan bersama nama mereka, manakala kaum wanita usahlah pula tersentak jiwa kerana jenayah zina dimulai dengan jantina mereka. Semuanya mempunyai hikmah dan pelajaran yang harus diperhatikan. Ketepikan emosi dan rasailah kelazatan al-Quran dalam bicara ini.

Rujuklah rekod Polis, pasti rekod membuktikan jenayah curi lebih banyak dipelopori kaum lelaki kerana mereka mempunyai desakan mencari harta yang lebih tinggi. Dengan kata lain seolah Allah menegur, sebagai kaum yang kuat bertenaga carilah rezeki yang halal dan jangan mengambil jalan mudah mengambil hak orang lain.

Jenayah zina pula banyak lubangnya berpunca dari kaum wanita. Wanita adalah magnet semulajadi yang Allah ciptakan kepada kaum lelaki.  Sabda Rasulullah:

إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ وَإِنَّ اللَّهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا فَيَنْظُرُ كَيْفَ تَعْمَلُونَ فَاتَّقُوا الدُّنْيَا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاءِ

Ertinya: Sesungguhnya dunia ini adalah manis lagi hijau. Dan Allah melantik kamu sebagai pengganti padanya lalu diperhatikan bagaimanakah tingkah lakumu. Oleh itu takutkan (ujian) dunia dan takutlah juga (ujian) wanita keran seungguhnya fitnah (ujian) yang menimpa Bani Isra’il adalah pada wanita (Sahih Muslim).

Magnet wanita menjadi semakin kuat kuasa tarikannya jika dihias dengan pakaian menjolok mata dan sikap mesra menggoda. Pintu zina dan rogol akan terbuka luas apabila kemesraan wanita melepasi tahap bahaya kerana lelaki yang tidak beriman seumpama kucing liar yang senantiasa menunggu untuk membaham ikan yang tidak dikawal rapi.

Selain itu, impak zina juga banyak memudarati kaum wanita berbanding lelaki. Orang boleh mengata “DASAR KELAPA DITEBUK TUPAI” tapi agak mustahil orang mengutuk “DASAR TUPAI PENEBUK KELAPA.” Selepas zina, yang menanggung malu dan bersusah mengandung bayi haram juga wanita bukannya lelaki. Pendahuluan sebutan penzina wanita sepatutnya difaham secara tersirat oleh kaum wanita agar jangan membuka ruang zina dengan melanggar batasan pakaian dan akhlak yang digariskan Islam.

Al-Quran ini bukan calang-calang kitab. Ia datangnya dari Pencipta manusia yang PALING MENGETAHUI perihal makhluk ciptaanNya. Peganglah mukjizat ini sekuat mungkin, kita pasti selamat di dunia dan di akhirat. Sabda Rasulullah:

أَلَا إِنَّهَا سَتَكُونُ فِتْنَةٌ فَقُلْتُ مَا الْمَخْرَجُ مِنْهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ كِتَابُ اللَّهِ فِيهِ نَبَأُ مَا كَانَ قَبْلَكُمْ وَخَبَرُ مَا بَعْدَكُمْ وَحُكْمُ مَا بَيْنَكُمْ وَهُوَ الْفَصْلُ لَيْسَ بِالْهَزْلِ مَنْ تَرَكَهُ مِنْ جَبَّارٍ قَصَمَهُ اللَّهُ وَمَنْ ابْتَغَى الْهُدَى فِي غَيْرِهِ أَضَلَّهُ اللَّهُ وَهُوَ حَبْلُ اللَّهِ الْمَتِينُ وَهُوَ الذِّكْرُ الْحَكِيمُ وَهُوَ الصِّرَاطُ الْمُسْتَقِيمُ هُوَ الَّذِي لَا تَزِيغُ بِهِ الْأَهْوَاءُ وَلَا تَلْتَبِسُ بِهِ الْأَلْسِنَةُ وَلَا يَشْبَعُ مِنْهُ الْعُلَمَاءُ وَلَا يَخْلَقُ عَلَى كَثْرَةِ الرَّدِّ وَلَا تَنْقَضِي عَجَائِبُهُ هُوَ الَّذِي لَمْ تَنْتَهِ الْجِنُّ إِذْ سَمِعَتْهُ حَتَّى قَالُوا
{ إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ }
مَنْ قَالَ بِهِ صَدَقَ وَمَنْ عَمِلَ بِهِ أُجِرَ وَمَنْ حَكَمَ بِهِ عَدَلَ وَمَنْ دَعَا إِلَيْهِ هَدَى إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Ertinya: Ingat", sesungguhnya akan berlaku fitnah", Saya (Ali bin Abi Talib RA) bertanya: "Bagaimana jalan keluar darinya wahai Rasulullah?" Rasulullah bersabda :"(Berpeganglah) kepada Kitab Allah, dalamnya ada cerita orang sebelummu dan berita orang sesudahmu, dan (ia adalah) pemutus apa yang terjadi antara kamu. Kitab Allah ini adalah firman yang pemisah (antara yang hak dan yang bathil) dan ia bukanlah bahan senda gurau, sesiapa yang meninggalkannya (mengabaikannya) kerana sombong, akan dibinasakan Allah, sesiapa yang mencari petunjuk yang lain darinya (selain kitab Allah), akan disesatkan Allah, ia adalah tali Allah yang kuat, IA ADALAH PERINGATAN YANG PENUH HIKMAH, IA ADALAH (PEMBIMBING KE) JALAN YANG LURUS, IA TIDAK CONDONG PADA (TIDAK MENGIKUT) HAWA NAFSU (MANUSIA), IA TIDAK BERAT PADA SETIAP LIDAH, PARA ULAMA' TIDAK AKAN KENYANG (DARI MENGKAJI SERTA MENDALAMINYA), IA TIDAK USANG (JEMU) WALAU BANYAKNYA DIULANG (BACAANNYA), KEAJAIBANNYA TIDAK ADA PENGHUJUNG, para jin tidak berhenti (secara kosong) ketika mendengarnya, mereka lantas berkata :(Sesungguhnya kami telah mendengarkan Al Quran yang menakjubkan yang memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya). Sesiapa berkata dengannya, maka benarlah ia, barangsiapa mengamalkannya, akan diberi pahala, orang yang memutuskan hukum dengannya pasti berlaku adil dan barang siapa menyeru kepada (penghayatan)nya akan mendapat petunjuk ke jalan yang lurus" (Sunan al-Tirmidhi) (Hadith ini dinilai Dhaif atau lemah oleh Imam al-Tirmidhi).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...