Sunday, April 26, 2015

JIKA ROH BOLEH PULANG - ALLAH JUGA BERKUASA MELANTIK SAYA SEBAGAI NABI

JIKA ROH BOLEH PULANG - ALLAH JUGA BERKUASA MELANTIK SAYA SEBAGAI NABI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Letih nak menjawab, namun apakan daya orang awam yang dahagakan ilmu akan senantiasa bertanya kerana ia adalah “ubat kejahilan” sebagaimana sabda Baginda:

فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ

Ertinya: Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya (kerana kejahilan itu seumpama penyakit) (Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad).

Selesai kelas Tafsir pagi ini (25 April 2015) seorang pelajar minta saya jelaskan perihal ROH MANUSIA YANG SUDAH MENINGGAL DUNIA DIBEBASKAN PADA BULAN RAMADHAN. Ramai sekali yang menyebarkan mesej mengenainya melalui media sosial.

Roh adalah rahsia Allah yang tergolong dalam urusan ghaib. Pengetahuan kita mengenainya pun sangat sedikit, jadi usahlah terlebih bijak dari Allah:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

Ertinya: Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "ROH ITU DARI PERKARA URUSAN TUHANKU; DAN KAMU TIDAK DIBERIKAN ILMU PENGETAHUAN MELAINKAN SEDIKIT SAHAJA" (al-Isra’ [17:85]).

Sebarang bicara mengenai yang ghaib WAJIB BERSANDARKAN sumber wahyu seperti al-Quran dan Hadith yang Sahih. Tidak cukup sekadar berkata “IA ADA DISEBUT DALAM KITAB” atau sebagaimana dinaqal dari “KITAB SUCI AL-WHAT’S APP” atau sebagaimana “DIRIWAYATKAN IMAM AL-FACEBOOK.” Fahamilah disiplin ilmu Islam melalui Firman Allah ini:

قُلْ لَا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ

Ertinya: Katakanlah lagi: “TIADA SESIAPAPUN DI LANGIT DAN DI BUMI YANG MENGETAHUI PERKARA YANG GHAIB MELAINKAN ALLAH!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati) (al-Naml [27:65]).

Teguhkan iman anda kepada perkara ghaib melalui perkhabaran al-Quran. Lalu apa kata al-Quran mengenai perjalanan roh manusia? ROH TERKURUNG DI ALAM BARZAKH SEHINGGA KIAMAT DAN TIDAK AKAN BALIK SEMULA KE DUNIA, TIDAK UNTUK BALIK MENGUTIP “PAHALA-SISWA” BULAN RAMADHAN ATAU MALAM JUMAAT, TIDAK JUGA UNTUK PULANG MENJADI HANTU MEMBALAS DENDAM. Firman Allah:

حَتَّى إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ (99) لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ كَلَّا إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا وَمِنْ وَرَائِهِمْ بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ (100)

Ertinya: Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, dia berkatalah: "WAHAI TUHANKU, KEMBALIKANLAH DAKU (HIDUP SEMULA DI DUNIA) - "SUPAYA AKU MENGERJAKAN AMAL YANG SOLEH DALAM PERKARA-PERKARA YANG TELAH AKU TINGGALKAN". TIDAK! MASAKAN DAPAT? SESUNGGUHNYA PERKATAANNYA ITU HANYALAH KATA-KATA YANG DIA SAHAJA UCAPKAN, SEDANG DI HADAPAN MEREKA ADA ALAM BARZAKH (DINDING PEMISAH YANG MEREKA TINGGAL TETAP PADANYA) HINGGA HARI MEREKA DIBANGKITKAN SEMULA (PADA HARI KIAMAT)” (al-Mu’minun [23:99-100]).

Barzakh dalam takrifnya adalah “DINDING PEMISAH YANG MENGHALANG ROH DARI KEMBALI KE DUNIA (Tafsir al-Jalayn).”

Jika dikata yang bebas adalah roh yang beriman, andaian itu tetap perlu hujah yang kukuh seteguh gunung. Tambahan pula ni’mat alam kubur yang dirasai orang beriman jauh lebih hebat dari ni’mat duniawi. Jadi apa perlunya mereka pulang ke dunia mencari yang biasa serta meninggalkan yang istimewa? Jika dikata pulang mereka adalah untuk mengutip pahala sedekah anak cucu, maka jawabnya penyaluran pahala boleh sahaja dialirkan terus ke alam barzakh tanpa perlunya mereka balik. 

Jika dikata ada hadith Sahih dalam “SAHIH MUSLIM” menyebut orang yang sudah mati masih boleh mendengar sebagaimana bicara nabi SAW kepada bangkai Kafir Quraysh yang terbunuh selepas perang Badar, maka fahamilah hadith itu dengan betul. Rasulullah SAW menyatakan mereka “MAMPU MENDENGAR DAN BUKANNYA MAMPU BALIK.”  Ini nas hadithnya:

فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ يَسْمَعُوا وَأَنَّى يُجِيبُوا وَقَدْ جَيَّفُوا قَالَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا أَنْتُمْ بِأَسْمَعَ لِمَا أَقُولُ مِنْهُمْ وَلَكِنَّهُمْ لَا يَقْدِرُونَ أَنْ يُجِيبُوا

Ertinya: (‘Umar) bertanya: Wahai Rasulullah mana mungkin mereka mendengar dan nak menjawab sedangkan mereka sudah busuk menjadi bangkai. Baginda menjawab: Demi yang jiwaku berada pada Tangan (KuasaNya), kamu semua tidak lebih mendengar pun terhadap apa yang aku sebut berbanding mereka. Cuma bezanya mereka TIDAK MAMPU MENJAWAB (Sahih Muslim).

Jika dikata ada “sebuah hadith dalam sebuah kitab” menyebut mengenai kepulangan roh pada bulan Ramadhan, maka jawabnya autoriti hadith masih rendah berbanding ayat al-Mu’minun di atas. Tambahan pula yang mendakwa “ADA HADITH” perlu menyatakan sumber dan status kekuatan hadith tersebut. Barang perlu diingat hadith yang lemah “TIDAK BOLEH MENJADI HUJAH” apatah lagi untuk menyanggah nas al-Quran.

Pun begitu, walau berjela diberikan hujah NAQLI (WAHYU) dan AQLI (LOGIK) menafikan kepercayaan karut ini, orang jahil awam yang TIADA DISIPLIN ILMU ISLAM akan menyanggah dengan ayat “SERIBU GUNA” mereka iaitu: “IA TIDAK MUSTAHIL PADA KEKUASAAN ALLAH KERANA ALLAH ITU MAHA BERKUASA. BOLEH SAHAJA ALLAH DENGAN KUASANYA YANG TIDAK TERBATAS MEMBEBASKAN ROH YANG BERIMAN PADA BULAN RAMADHAN ATAU MALAM JUMAAT.”

Jika begitu logik mereka, maka ini jawapannya:

“Malam tadi saya didatangi Jibril AS. Jibril memeluk saya erat sambil mengajarkan saya surah al-‘Alaq. Sejurus selepas itu saya DILANTIK SEBAGAI NABI AKHIR ZAMAN SELEPAS NABI MUHAMMAD SAW. Jadi, anda semua perlu beriman kepada kerasulan saya. Jika ada yang tidak bersetuju dengan perlantikan saya sebagai Rasul, maka ini hujah “SERIBU GUNA” saya: “IA TIDAK MUSTAHIL PADA KEKUASAAN ALLAH KERANA ALLAH ITU MAHA BERKUASA. BOLEH SAHAJA ALLAH DENGAN KUASANYA YANG TIDAK TERBATAS MELANTIK SAYA SEBAGAI NABI AKHIR ZAMAN SELEPAS NABI MUHAMMAD.”

Inilah antara contoh “DISIPLIN CACA MARBA” dalam agama yang digunapakai oleh sesetengah orang jahil. Lalu bagaimana kita hendak menjawab penyokong parti caca marba ini? Jawabnya mudah sahaja, Allah MEMANG MAHA BERKUASA UNTUK MELAKUKAN APA SAHAJA, TETAPI PERLU DIPAHAT KEMAS DALAM HATI BAHAWA ALLAH JUGA SUDAH MELETAKKAN SUNNATULLAH ATAU UNDANG-UNDANGNYA YANG TIDAK AKAN DIUBAH. ANTARA SUNNATULLAH YANG TIDAK AKAN DIUBAHNYA; NABI MUHAMMAD ADALAH NABI DAN RASUL TERAKHIR. JUGA ROH ORANG YANG SUDAH MATI TIDAK BOLEH PULANG SAMA SEKALI KE DUNIA UNTUK APA SAHAJA TUJUAN.

Perihal ketetapan Sunnatullah diulang sebut berkali-kali dalam al-Quran, antaranya:

سُنَّةَ اللَّهِ فِي الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلُ وَلَنْ تَجِدَ لِسُنَّةِ اللَّهِ تَبْدِيلًا

Ertinya: Yang demikian adalah menurut "Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah yang telah lalu; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi "Sunnatullah" itu (al-Ahzab [33:62]).

Sebarang dakwaan menyanggah hukum dan undang-undang Allah ini wajib ditolak. Jika tidak, agama suci ini akan jadi “agama secukup rasa.” Seperti lagak tukang masak, Jika mahu lebih pedas tambahlah cilinya. Jika mahu lebih masin, tambahlah garamnya. Jika mahu lebih manis, tambahlah gulanya. Agama ini bukannya menu boleh ubah seperti menu masakan. Ia adalah HAK ALLAH yang wajib dipatuhi tanpa tokok tambah. Berhati-hatilah dalam menyebarkan sebarang “HADITH RIWAYAT IMAM AL-WHAT’S APP ATAU IMAM AL-FACEBOOK” kerana agama ini ada paksinya yang pasak kemas oleh Allah dan Rasul. Janganlah dirosakkan paksi itu, kelak kita akan merana kesesatan di dunia dan kesakitan di akhirat.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...