Saturday, April 18, 2015

JANGAN TERLEBIH PUJI KERANA HANYA AKU TAHU DOSAKU

JANGAN TERLEBIH PUJI KERANA HANYA AKU TAHU DOSAKU

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Selesai kelas Tafsir semalam (15 April 2015), seorang murid tampil memuji:

“Masya Allah! Ayat al-Quran memang mengalir laju dari lidah Ustaz.”

Sejurus itu segala dosa mulai menerjah masuk ke dalam minda. "Aduh! Malu sekali aku menerima pujian itu sedang dosaku tidak kurang timbunannya. Jika yang memuji tahu segala koleksi dosaku, usahkan memuji menjeling pun tak mahu."

Ketika dipuji usahlah kembang hidung atau gembira, sebaliknya “SEGERALAH INGAT DOSA KITA BAGI MENGELAKKAN DIRI HANYUT TERBANG DI AWANGAN.” Jika dosa kita “meninggalkan bau busuk” menusuk hidung sudah pasti tiada siapa yang akan memuji. Sahabat Rasulullah SAW sangat halus jiwanya. Sejurus dipuji mereka segera berdoa:

كان الرجل من أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم إذا زكي (1) قال : الَلَّهُمَّ لَا تُؤَاخِذْنِي بِمَا يَقُولُونَ ، وَاغْفِرْ لِي مَا لَا يَعْلَمُونَ

Ertinya: Seorang sahabat Rasulullah SAW apabila dipuji akan segera berdoa: “Ya Allah! Jangan Engkau hukumku atas apa yang mereka katakan (puji) dan ampunkanlah dosaku apa yang mereka tak tahu (akan dosa yang selalu aku lakukan) (Al-Adab al-Mufrad Imam al-Bukhari).

Dalam riwayat lain ditambah pula lafaz:

وَاجْعَلْنِي خَيْرًا ِممَّا يَظُنُّونَ

Ertinya: Dan jadikanlah aku lebih baik dari apa yang mereka sangka (Sya’b al-Iman Imam al-Bayhaqi).

Tidak dinafi, adakala pujian itu baik untuk meransang pencapaian sesetengah orang atau anak-anak. Pun begitu wajib juga diingat, puji boleh jadi bahaya dan beracun jika tidak diurus sebetulnya. Berapa ramai bangsawan, orang kenamaan, cerdik pandai, ilmuan dan ramai lagi menderita “SAKIT SUKAR DITEGUR” kerana selalu menerima pujian. Mereka menjadi ketagihan pujian dan hanya mampu bergerak setelah disuntik dengan “STEROID PUJIAN.”

Oleh kerana itu Rasulullah SAW memang “DOKTOR ROHANI” terbaik apabila bersabda agar pujian dielakkan:

جَاءَ رَجُلٌ فَأَثْنَى عَلَى عُثْمَانَ فِي وَجْهِهِ فَأَخَذَ الْمِقْدَادُ بْنُ الْأَسْوَدِ تُرَابًا فَحَثَا فِي وَجْهِهِ وَقَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا لَقِيتُمْ الْمَدَّاحِينَ فَاحْثُوا فِي وُجُوهِهِمْ التُّرَابَ

Ertinya: Pada suatu hari seorang lelaki memuji Uthman di depannya. Miqdad bin al-Aswad lalu mengambil tanah dan menaburnya ke atas muka lelaki tersebut seraya berkata: Rasulullah SAW berpesan “Apabila kamu bertemu dengan orang yang suka memuji maka taburkan tanah (debu) ke atas muka mereka” (Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Sunan al-Tirmidhi).

Allah juga menegaskan jangan terlalu suka dipuji kerana ia sangat beracun:

الَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ إِلَّا اللَّمَمَ إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ الْمَغْفِرَةِ هُوَ أَعْلَمُ بِكُمْ إِذْ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَإِذْ أَنْتُمْ أَجِنَّةٌ فِي بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ فَلَا تُزَكُّوا أَنْفُسَكُمْ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَى

Ertinya: (Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya. Ia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia mencipta kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; “MAKA JANGANLAH KAMU MEMUJI-MUJI DIRI KAMU (BAHAWA KAMU SUCI BERSIH DARI DOSA).” Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa (al-Najm[53:32]).

Bersyukurlah kepada Allah yang sangat Pemurah dan Penyayang kerana banyak menutup aib kita sehingga mudah mulut manusia memuji kebaikan kita. Dengan penutupan aib itu, tampaklah kita sebagai manusia terhormat dan baik pada mata manusia. Apa nak buat, sesetengah manusia memang ikhlas memuji tanpa madah berhelah. Biarkan mereka. Bila menerima pujian, segeralah ingat segala dosa yang pernah dilakukan kerana ia adalah antibiotic rohani yang sangat mujarab bagi mengelakkan hati kita dijangkiti sakit “sukar menerima teguran.” Mohon dijauhkan Allah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...