Friday, April 10, 2015

ALLAH YANG MEMATIKAN, BUKAN MALAIKAT MAUT ATAU JIN SAKA

ALLAH YANG MEMATIKAN, BUKAN MALAIKAT MAUT ATAU JIN SAKA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Tafsir Dhuha Selasa (al-Sajdah [30:11]) pada 7 April 2015. Antara isunya adalah Malaikat Maut hanyalah hamba suruhan Allah.

“Ngeri sungguh! Pak Tua di hujung kampong tu sudah lama sakitnya. Ramai orang berbicara dia sudah mati atau susah mati sebab “saka belaannya” tidak mahu meninggalkan tubuh. Itulah bahananya berjanji dengan jin dan syaitan. Susah mahu mati selagi sakanya belum ada penyanggup.”

Saya dahulu pun percaya yang sama, iaitu ajal pemilik saka bergantung kepada kewujudan saka jinnya. Atau pemiliknya sudah lama mati tapi tubuhnya seakan hidup kerana dipinjam saka belaannya. Setelah mengenal hakikat KUASA ALLAH SEBAGAI SATU-SATUNYA ZAT YANG MENGHIDUP DAN MEMATIKAN MAKHLUK, barulah saya sedar fahaman sebegitu sebenarnya sangat salah.

لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ يُحْيِي وَيُمِيتُ رَبُّكُمْ وَرَبُّ آَبَائِكُمُ الْأَوَّلِينَ

Ertinya: Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia; DIA LAH YANG MENGHIDUPKAN DAN YANG MEMATIKAN; (Dia lah jua) Tuhan kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu (al-Dukhan[44:8]) .

Jika dikata tubuhnya seakan hidup kerana ditumpang sakanya, itu seakan memberi kuasa “MENGHIDUP” kepada saka jin. Jika dikata susah mati kerana saka belum disanggup pewaris lain, itu pula seakan menyatakan saka jin berkuasa “MEMATIKAN.” Lebih tepat disebut si fulan itu meninggal dunia pada WAKTU DAN SAAT TARIKH MATI YANG DITENTUKAN ALLAH PADANYA SEMENJAK AZALI.

Usahkan si jin saka atau syaitan, Malaikat Maut sekalipun tak berkuasa mencabut nyawa jika Allah tidak izinkan kerana mereka hanyalah wakil. Siapalah si wakil jika kuasa pewakilan ditarik PEMILIK ASAL SEGALA SESUATU. Ini disebut Allah:

قُلْ يَتَوَفَّاكُمْ مَلَكُ الْمَوْتِ الَّذِي وُكِّلَ بِكُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad); "Nyawa kamu akan diambil oleh Malaikat Maut YANG DITUGASKAN BERBUAT DEMIKIAN ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)" (al-Sajdah [32:11]).

Jika dihimpun si Iblis, jin Ifrit atau jin saka dalam satu gelanggang dengan Malaikat Maut, makhluk api itu pasti akan terkencing kegentaran. Apa tidaknya, nyawa mereka mudah dicabut oleh Malaikat Maut sekiranya diizinkan Allah. Malaikat Maut pun hanya bertindak mencabut nyawa setelah lesennya dikeluarkan Allah pada waktu tiba ajal seseorang makhluk:

وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَنْ تَمُوتَ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ كِتَابًا مُؤَجَّلًا وَمَنْ يُرِدْ ثَوَابَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَنْ يُرِدْ ثَوَابَ الْآَخِرَةِ نُؤْتِهِ مِنْهَا وَسَنَجْزِي الشَّاكِرِينَ

Ertinya: Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan behagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (Ali ‘Imran [3:145]).

Ajal juga salah satu rahsia Allah yang mustahil diketahui oleh sesiapapun:

  إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Ertinya: Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); DAN TIADA SEORANGPUN YANG DAPAT MENGETAHUI DI BUMI NEGERI MANAKAH IA AKAN MATI. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya (Luqman[31:34]).

Kesimpulannya, bersandarlah kepada yang pasti bukannya persepsi atau cerita ceriti. Tiada yang paling pasti melainkan wahyu Allah. Betulkan bahasa anda dalam bicara mati. Allah adalah Pemegang Nyawa, manakala sesetengah makhluk seperti sakit, kemalangan dan mara bahaya hanyalah sebab musabab nyawa dicabut Malaikat maut. Ya Allah! Selamatkan akidah kami.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...