Monday, March 30, 2015

CARILAH KEMULIAAN DARI PEMILIK SEBENAR KEMULIAAN

CARILAH KEMULIAAN DARI PEMILIK SEBENAR KEMULIAAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (Fatir [35:10]) pada 27 Mac 2015. Antara isunya adalah cara sebenar mendapat kemuliaan.

Berbagai cara manusia mencari kekuatan dan kemuliaan. Ada yang terjun ke dunia politik. Selepas lama berhabis menjamu dan melobi maka lekatlah jawatan “kemuliaan” yang diidam. Jawatan kemuliaan yang dicapai pula menjadi platform untuk mengutip kembali modal yang sudah lama ditabur dalam gelanggang politik. Tak kurang juga yang silap mendarat dari terjunan politiknya, lalu jatuh tersungkur langsung tak mampu bangun. Harta habis, jawatan kemuliaan juga melepas.

Ada pula yang melihat kemuliaan di dunia akan dicapai jika berdamping dengan manusia yang bergelar “Yang Mulia.” Jika bernasib baik, manusia bergelar “Yang Mulia” itu akan melimpahkan sedikit sisa kepada pengampu mereka. Bagi manusia munafiq pada zaman Rasulullah SAW, mereka mencari kekuatan dan kemuliaan dari musuh Islam di Mekah. Ia direkodkan Allah:

الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ أَيَبْتَغُونَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا

Ertinya: (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) MENCARI KEKUATAN DAN KEMULIAAN di sisi orang-orang kafir itu, KERANA SESUNGGUHNYA KEKUATAN DAN KEMULIAAN ITU SEMUANYA IALAH MILIK ALLAH, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya) (al-Nisa’[4:139]).

Lain pula perihalnya orang beriman. Mereka memilih pintu sebenar untuk mencari kemuliaan iaitu dari Allah SWT. Keyakinan mereka ini sangat berasas:

مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْعِزَّةَ فَلِلَّهِ الْعِزَّةُ جَمِيعًا إِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ وَالْعَمَلُ الصَّالِحُ يَرْفَعُهُ وَالَّذِينَ يَمْكُرُونَ السَّيِّئَاتِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَكْرُ أُولَئِكَ هُوَ يَبُورُ

Ertinya: SESIAPA YANG MAHUKAN KEMULIAAN (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), KERANA BAGI ALLAH JUALAH SEGALA KEMULIAAN. Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul - yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa (Fatir [35:10]).

Dalam ayat lain Allah menegaskan bahawa kunci kemuliaan berada padaNya:

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. ENGKAULAH JUGA YANG MEMULIAKAN SESIAPA YANG ENGKAU KEHENDAKI, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu (Ali ‘Imran [3:26]).

Manusia yang mendapat kemuliaan dari "Pemilik sebenar segala kemuliaan" akan kekal mulia di dunia dan di akhirat. Kemuliaan hakiki yang mereka perolehi ini sebenarnya bukan percuma tetapi datang seiring dengan KETAATAN KEPADA ALLAH. Ketaatan mereka dalam bentuk PERKATAAN YANG BAIK (kalimah Tawhid, perkataan yang baik, bacaan doa, alunan ayat al-Quran, nasihat berguna dan sebagainya) akan terbang naik beriring dengan amal soleh pelakunya bertemu Allah.  Apabila "Pemilik sebenar kemuliaan" cintakan pemilik amalan tersebut, segera Allah anugerahkan kepada mereka “KEMULIAAN AJAIB.”

Di mana sahaja mereka berada, akan dipandang mulia oleh semua walaupun tanpa terjunan politik atau mengampu sang raja.” Walaupun semasa di dunia mereka tampak hina pada mata manusia, namun mereka sangat masyhur di kalangan penghuni langit. Inilah yang disebut dalam sebuah hadith Qudsi:

إِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ عَبْدًا دَعَا جِبْرِيلَ فَقَالَ إِنِّي أُحِبُّ فُلَانًا فَأَحِبَّهُ قَالَ فَيُحِبُّهُ جِبْرِيلُ ثُمَّ يُنَادِي فِي السَّمَاءِ فَيَقُولُ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلَانًا فَأَحِبُّوهُ فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ قَالَ ثُمَّ يُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي الْأَرْضِ

Ertinya: Apabila Allah mencintai seorang hamba, dipangilnya Jibril lalu diberitahu kepada Jibril: Sesungguhnya Aku mencintai si fulan, maka hendaklah kamu mencintainya. Jibril lalu mencintainya. Kemudian dilaungkan di langit: Sesungguhnya Allah menyintai si fulan itu, maka hendaklah kamu (penduduk langit) menyintainya. Maka si fulan itu akan dicintai seluruh penduduk langit. Kemudiannya diletakkan penerimaan (rasa cinta, kasih sayang makhluk) padanya di bumi (Sahih Muslim).

Ya Allah kurniakan kami kemuliaan sebenar di dunia dan akhirat.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...