Sunday, February 15, 2015

TENTERA PERKASA FIR'AWN DIMUSNAHKAN TENTERA ALLAH YANG LEBIH PERKASA

TENTERA PERKASA FIR’AWN DIMUSNAHKAN TENTERA ALLAH YANG LEBIH PERKASA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Syu’ara’ [26:53-56]) pada 10 Februari 2015. Antara isunya adalah kekuatan tentera Fir’awn yang kuat, ramai dan senantiasa bersiap siaga.

Empayar Fir’awn adalah pemegang kuasa dunia pada zamannya. Bala tenteranya senantiasa siap siaga dengan segala kelengkapan perang. Berdentum saja gendang perang dipalu atau pekikan semboyan tempur ditiup, para tentera Fir’awn akan segera berbaris menunggu arahan. Jika diarah bunuh, maka terbunuhlah musuh. Jika diarah bakar, maka hanguslah yang diterkam. Jika diarah langgar, maka habis semua dilanggar tanpa bekas.  Pendek kata, mereka bukanlah angkatan perang yang mahu ditentang oleh sesiapa. Terdengar sahaja tentera Fir’awn melangkah kaki ke medan tempur, semua akan kecut perut. Menentang angkatan perang Mesir seumpama menempah maut. Firman Allah:

وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ (10) الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ (11) فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ (12)

Ertinya: Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh?  (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing),  Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu (al-Fajr[89:10-12]).

Ketika mengetahui pemergian Bani Isra’il meninggalkan Mesir, Fir’awn segera mengerah angkatan tenteranya menyusul Musa dan pengikutnya. Kisah kerahan itu direkodkan al-Quran:

فَأَرْسَلَ فِرْعَوْنُ فِي الْمَدَائِنِ حَاشِرِينَ (53) إِنَّ هَؤُلَاءِ لَشِرْذِمَةٌ قَلِيلُونَ (54) وَإِنَّهُمْ لَنَا لَغَائِظُونَ (55) وَإِنَّا لَجَمِيعٌ حَاذِرُونَ (56)

Ertinya: (Setelah mengetahui pemergian Musa dan para pengikutnya) maka Firaun mengutus (orang-orangnya) ke seluruh bandar (negeri Mesir), untuk mengumpulkan (tenteranya), (Sambil berkata kepada mereka): "Sesungguhnya orang-orang (Musa) itu adalah segolongan kecil, "Dan sesungguhnya mereka melakukan perkara yang menyebabkan kita marah;. "DAN SESUNGGUHNYA KITA SEKALIAN, SENTIASA BERINGAT DAN BERJAGA-JAGA" (al-Syu’ara’[26:53-56]).

Ayat ini menyebut 4 perkara dalam kerahan tersebut:

1) Kerahan dibuat ke seluruh empayar dan bandar dalam jajahan takluk Fir’awn. Para ulama Tafsir menyebut tanah jajahan takluk empayar Mesir sungguh banyak (Tafsir Jalalayn). Bayangkan pula berapa ramai tenteranya dikerah.

2) Pemergian Bani Isra’il menyebabkan mereka marah. Marah ini berikutan tindakan Bani Isra’il yang berkasta hamba meninggalkan Mesir. Ketiadaan mereka bakal mengundang musibah pembangunan kepada Mesir. Kelak bangsa Fir’awn atau Qibti Mesir terpaksa turun berkerja menggantikan kehilangan bangsa  Bani Isra’il. Mereka juga marah kerana ada barang kemas yang dipinjam Bani Isra’il tidak dipulangkan (Tafsir al-Tabari).

3) Menyusul Bani Isra’il sangat mudah kerana jumlah mereka sangat kecil berbanding jumlah tentera Fir’awn. Seumpama penduduk sekampung mahu menangkap ayam seekor.

4) Bala tentera Fir’awn adalah bala tentera yang sangat kuat dan “SENANTIASA BERSIAP SIAGA.”

Walaupun begitu, keperkasaan bala tentera Fir’an dimusnahkan Allah hanya dalam satu sapuan ombak oleh makhluk Allah yang jauh lebih perkasa, iaitu laut. Dalam masa singkat sahaja, mereka habis ditelan laut tanpa bekas. Firman Allah:

فَانْتَقَمْنَا مِنْهُمْ فَأَغْرَقْنَاهُمْ فِي الْيَمِّ بِأَنَّهُمْ كَذَّبُوا بِآَيَاتِنَا وَكَانُوا عَنْهَا غَافِلِينَ

Ertinya: Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya (al-A’raf[7:136]).

Pada zaman kita, kuasa besar dunia yang memiliki kekuatan ketenteraan semirip empayar Fir’awn atau jauh lebih berkuasa adalah angkatan tentera Amerika Syarikat. Dengan kuasa sedemikian, mereka bermaharajalela sebagai polis antarabangsa yang tidak bertauliah. Tiada siapa berani menyanggah. Jika disanggah pasti terkorban tanpa kubur.

Akan tetapi, perlu diingat, kekuatan mereka sebenarnya masih kecil berbanding kekuatan bala tentera Allah. Boleh sahaja Allah mengerahkan laut agar memukul armada perang mereka dengan ombak mengganas kemudian menelannya tanpa bekas. Boleh sahaja Allah mengutus puting beliung menelan pesawat canggih mereka. Boleh sahaja Allah menghantar wabak penyakit meresap ke dalam tubuh tentera mereka yang kononnya sangat perkasa. Boleh, dan boleh sahaja kerana Allah adalah pemegang kuasa Mutlak alam ini. Juga tentera Allah jauh lebih ramai dan perkasa melputi tentera langit dan bumi:

وَلِلَّهِ جُنُودُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَكَانَ اللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا

Ertinya: Dan Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menyeksa orang-orang yang derhaka); dan Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (al-Fath [48:7]).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...