Monday, February 16, 2015

12 NAQIB DALAM PENGURUSAN PARA RASUL

12 NAQIB DALAM PENGURUSAN PARA RASUL

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Khamis (al-Ma’idah [9:12]) pada 11 Februari 2015 di Surau Nur al-Syura, Bandar Baru Selayang Fasa 2B. Antara isunya adalah perlantikan 12 Naqib atau ketua di kalangan pengikut nabi Musa AS.

Celaru dan gawat sekali mahu menguruskan ratusan ribu manusia yang berbeza warna perangainya.  Jika tiada pengurusan yang baik pasti ratusan pengikut bisa menjadi ombak ganas yang meruntuhkan jiwa seorang pemimpin. Ini adalah sebabnya mengapa Allah mengarahkan nabi Musa AS melantik 12 ketua dari kalangan mereka. Firman Allah:

وَلَقَدْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَبَعَثْنَا مِنْهُمُ اثْنَيْ عَشَرَ نَقِيبًا

Ertinya: Dan demi sesungguhnya! Allah telah mengambil perjanjian setia Bani Israil (supaya mereka menjunjung perintahNya dan menjauhi laranganNya), dan “KAMI TELAH UTUSKAN DARI KALANGAN MEREKA DUA BELAS KETUA (UNTUK MEMIMPIN GOLONGAN MASING-MASING)”; (al-Ma’idah [5:12]).

Bani Isra’il bermaksud anak kepada Isra’il (Hamba Allah atau nabi Ya’qub). Gelaran kemuliaan ini diberi kerana pengikut nabi Musa AS berasal dari keturunan 12 orang anak nabi Ya’qub. Setelah lama masa berlalu keturunan 12 orang anak Ya’qub ini langsung berbeza budayanya yang kemudiannya menerbitkan 12 suku. Menurut para ulama Tafsir jumlah mereka mencecah ratusan ribu orang.

Bukan sekali Allah menyebut angka 12 dalam urusan Musa AS dan Bani Isra’il. Ia turut berlaku ketika baginda mengetuk batu yang menerbitkan 12 mata air:

وَإِذِ اسْتَسْقَى مُوسَى لِقَوْمِهِ فَقُلْنَا اضْرِبْ بِعَصَاكَ الْحَجَرَ فَانْفَجَرَتْ مِنْهُ اثْنَتَا عَشْرَةَ عَيْنًا قَدْ عَلِمَ كُلُّ أُنَاسٍ مَشْرَبَهُمْ كُلُوا وَاشْرَبُوا مِنْ رِزْقِ اللَّهِ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: "PUKULAH BATU ITU DENGAN TONGKATMU", (IA PUN MEMUKULNYA), LALU TERPANCUTLAH DARI BATU ITU DUA BELAS MATA AIR; SESUNGGUHNYA TIAP-TIAP SATU PUAK (DI ANTARA MEREKA) TELAH MENGETAHUI TEMPAT MINUMNYA MASING-MASING.” (Dan Kami berfirman): "Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi" (al-Baqarah[2:60]).
Ketika meredah lautan tatkala Fir’awn dan tenteranya mengejar di belakang, laluan belahan laut berkat pukulan tongkat nabi Musa AS juga “TERPECAH KEPADA 12 LORONG BESAR UNTUK 12 SUKU.” Ini disebut oleh  para ulama Tafsir (Tafsir Ibn Kathir) ketika mengulas ayat ini:

فَأَوْحَيْنَا إِلَى مُوسَى أَنِ اضْرِبْ بِعَصَاكَ الْبَحْرَ فَانْفَلَقَ فَكَانَ كُلُّ فِرْقٍ كَالطَّوْدِ الْعَظِيمِ

Ertinya: Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: "Pukulah laut itu dengan tongkatmu". (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (KEPADA 12 BAHAGIAN), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar (al-Syu’ara’[26:63]).

Rupanya bukan hanya nabi Musa AS sahaja yang bijak mengurus kaumnya yang ramai, baginda Rasulullah SAW juga berbuat demikian sebelum memanjangkan langkah hijrah ke Madinah. Selepas menerima janji taat setia penduduk Yathrib untuk kali kedua dalam perjanjian “Aqabah ke 2 pada tahun ke 13 kerasulan, baginda melantik serama 12 PEMIMPIN (9 orang dari kabilah Khazraj dan 3 orang dari Kabilah Aws) dari kalangan mereka untuk melicinkan perancangan dan pengurusan dakwah (Sirah Ibn Hisyam).

Inilah bukti bahawa kejayaan perjuangan para Rasul tidak datang secara ajaib tetapi berlaku dengan perancangan dan pengurusan yang baik. Benar kata pepatah “gagal merancang, merancang kegagalan.” Seorang lelaki beriman yang tiada perancangan boleh jatuh tersungkur di kaki lelaki kafir yang terancang gerak aturnya. Belajarlah dari kebijaksanaan para Rasul dan duduklah untuk merancang dengan rapi kerana merancang adalah suatu langkah perlaksanaan takdir Allah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...