Tuesday, January 20, 2015

MEMBERI JANGANLAH BERHELAH

MEMBERI JANGANLAH BERHELAH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas  Dhuha Selasa (al-Rum [30:38-39]) pada 19 Januari 2013 di Masjid Ibnu Sina, Taman Tasik Titiwangsa, KL. Antara isunya adalah teguran Allah terhadap sikap manusia yang membantu dengan agenda tersembunyi.

“Susah sungguh nak berurusan dengan pihak pengurusan pejabat ini. Nampaknya aku kena selalu sedekah paksa atau belanja mereka bagi membuatkan mereka mudah membantu urusanku.”

Ini adalah senario yang biasa berlaku di mana sahaja. Banyak jasa yang ditabur bersifat “ada udang sebalik mee” demi untuk memudahkan urusan. Soalannya apa hukum pemberian sebegini? Firman Allah:

وَمَا آَتَيْتُمْ مِنْ رِبًا لِيَرْبُوَ فِي أَمْوَالِ النَّاسِ فَلَا يَرْبُو عِنْدَ اللَّهِ وَمَا آَتَيْتُمْ مِنْ زَكَاةٍ تُرِيدُونَ وَجْهَ اللَّهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُضْعِفُونَ (39)

Ertinya: Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda (al-Rum[30:39]).

Secara bahasa, pemberian sebegini juga dipanggil “RIBA YANG HARUS”, iaitu pemberian bertujuan mendapat pulangan berganda dari orang yang ditabur jasa (Tafsir Ibn Kathir). Pemberian jenis ini harus hukumnya, namun “TIDAK MENDAPAT PAHALA” kerana niatnya bukan kerana Allah (Tafsir al-Munir). Bahkan baginda SAW diharamkan sama sekali menabur pemberian sebegini:

وَلا تَمْنُنْ تَسْتَكْثِرُ

Ertinya: Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya (al-Muddaththir[74:6]).

Alang-alang memberi, biarlah ikhlas kerana Allah. Bukan sahaja berpahala, Redha Allah juga bakal datang mencurah kepada kita. Allah yang redha dengan kita, akan menyentap hati manusia yang ikhlas kita bantu agar menjadi ringan tangan membantu urusan seharian kita di mana sahaja kita berada.

Bijaklah dalam beramal dan memberi. Kita memberi “sesuatu” perkara kerana mengharap “sesuatu”, boleh jadi kita hanya mendapat “satu atau sesuatu.” Namun jika kita memberi sesuatu ikhlas kerana Allah, Allah akan memberi kita BANYAK GANDAAN YANG tak kita duga. Siapa tahu?

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...