Thursday, January 22, 2015

MANUSIA MENJADI JAMBATAN KEAJAIBAN REZEKI

MANUSIA MENJADI JAMBATAN KEAJAIBAN REZEKI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Sedih sekali apabila terpaksa melepaskan "Rezeki" yang disangka sudah berada dalam genggaman. Setelah dilihat dengan mata hati rupanya ia adalah "ujian rezeki" yang menunjukkan bahawa ALLAH ADALAH PEMEGANG REZEKI YANG SEBENAR. Rupanya kita hanyalah "peminjam dan jambatan rezeki" dan bukan pemilik rezeki ini.

آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَأَنْفِقُوا مِمَّا جَعَلَكُمْ مُسْتَخْلَفِينَ فِيهِ ۖ فَالَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَأَنْفَقُوا لَهُمْ أَجْرٌ كَبِيرٌ

Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) YANG  DIJADIKANNYA KAMU MENGUASAINYA SEBAGAI WAKIL. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar (al-Hadid  [57:7]).

Cantik terjemahan ayat di atas. Kita hanya "wakil rezeki" dan bukan pemilik. Bila pemilik asal mahu kita menyerahkan rezeki kepada yang berhak, kita wajib melepaskan apa yang kita pegang walau ia sudah hampir disuap ke mulut.

Kisahnya pada Khamis lepas (15 Januari 2015), sejurus kemunculan saya dalam Pentas Dakwah TV al-Hijrah, saya menerima panggilan dari seorang penerbit. Beliau menawarkan saya posisi pengacara (30 episod) sebuah rancangan Sirah Rasulullah SAW terbitan  sebuah stesyen TV. Bagi menjayakan rancangan tersebut saya dikehendaki mengikuti krew pergambarannya "KE 6 BUAH NEGARA ARAB SELAMA 51 HARI BERMULA AWAL MAC SEHINGGA AKHIR APRIL."

Saya sangat teruja dengan tawaran ini. Isteri tercinta pula sangat menggalakkan saya mencari pengalaman berharga ini. Halangan utama saya adalah meninggalkan keluarga dengan anak yang masih kecil (5, 10,13, 15 tahun), kekangan sakit selepas pembedahan pemindahan ginjal, meninggalkan ibu di Kota Bharu yang masih koma, meninggalkan tugasan rasmi di UIAM dan mendapat pelepasan rasmi UIAM.

Saya berdoa dan beristikharah, namun masih buntu. Malam Isnin saya bermimpi menempuh perjalanan sukar untuk sampai ke kelas, namun akhirnya sampai juga.

Seterusnya, bagi mencari jawapan muktamad kepada istikharah yang masih samar, saya bertemu penerbit di pejabatnya. Rupanya rancangan Sirah ini adalah sebuah projek yang sangat besar melibatkan agensi kerajaan. Sebarang kesilapan akan menjejaskan proses pergambaran.  Mengenangkan berbagai kerisauan di benak, DENGAN BERAT HATI saya akhirnya melepaskan tawaran ini. Hati memang bersedih, tapi saya tak mahu menjadi masalah kemudian hari kepada penerbit.

Berikutan penolakan itu, penerbit kebuntuan kerana tugasan mencari pengacara sangat sukar. Tambahan pula waktu sudah semakin suntuk. Sebagai alternatif, saya mencadangkan beberapa nama kepada penerbit dengan senarai asatizah yang saya kenal. Ringkasnya selepas 2 hari mencari, penerbit  berjaya mencari pengacara ganti. Alhamdulillah!

Inilah keajaiban rezeki. Saya sangka ia milik saya, tetapi Allah sekadar menjadikan saya sebagai "jambatan untuk menemukan penerbit dengan pengacara ganti yang jauh berada di Kedah." Agak sukar untuk penerbit mengenali secara terus  pengacara ganti tersebut, namun Allah semenjak azali sudah menetapkan bahawa projek ini adalah rezekinya, lalu saya dijadikan jambatan untuk ustaz tersebut mendapat rezeki. Inilah inti Taqdir yang ditegaskan Allah:

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنْفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَبْرَأَهَا ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, MELAINKAN TELAH SEDIA ADA DALAM KITAB (PENGETAHUAN KAMI) SEBELUM KAMI MENJADIKANNYA; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah (al-Hadid [57:22]).

Alhamdulillah kerana menjadikan kita "jambatan rezeki" kepada orang lain. Usahlah cemburu atau iri hati atas rezeki orang lain kerana sikap itu sebenarnya suatu "rasa tidak puas hati" kepada Allah yang memberi rezeki kepada orang lain. Mohonlah kepada Allah kerana Dia meminta kita bermohon padaNya. Bila kita disuruh meminta, pasti Allah sedia memberi:

وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ ۚ لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبُوا ۖ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبْنَ ۚ وَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا

Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan POHONKANLAH  KEPADA ALLAH AKAN LIMPAH KURNIANYA. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu (al-Nisa'[4:32]).

Semoga kisah ini menjadi pengubat jiwa, penghibur hati, pengukuh iman dan menjadi peringatan tentang hakikat rezeki kepada semua. Sungguh! Hanya Allah yang memegang rezeki.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...