Wednesday, January 7, 2015

DOAKAN PENGAMPUNAN UNTUK GEMULAH BUKAN SEDEKAH FATIHAH

DOAKAN PENGAMPUNAN UNTUK GEMULAH BUKAN SEDEKAH FATIHAH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (al-Tawbah [9:113-114]) pada 24 Disember 2014. Antara isunya adalah keutamaan mendoakan pengampunan kepada si mati yang beriman kepada Allah:

“Kita baru mendapat berita kematian seorang kawan kita. Untuk itu, marilah kita sama-sama sedekahkan al-Fatihah untuknya. AL-FATIHAH!”

Benarkah apabila mendengar berita kematian seseorang kita disarankan membaca al-Fatihah? Rasulullah pernah ditegur agar tidak MENDOAKAN PENGAMPUNAN untuk gemulah yang meninggal. Firman Allah:

مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آَمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ (113) وَمَا كَانَ اسْتِغْفَارُ إِبْرَاهِيمَ لِأَبِيهِ إِلَّا عَنْ مَوْعِدَةٍ وَعَدَهَا إِيَّاهُ فَلَمَّا تَبَيَّنَ لَهُ أَنَّهُ عَدُوٌّ لِلَّهِ تَبَرَّأَ مِنْهُ إِنَّ إِبْرَاهِيمَ لَأَوَّاهٌ حَلِيمٌ (114)

Ertinya: Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, “MEMINTA AMPUN” bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka. Dan bukanlah ISTIGHFAR (PERMOHONAN AMPUN) NABI IBRAHIM BAGI BAPANYA (DIBUAT) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar (al-Tawbah[9:113-114]).

Ayat di atas diturunkan menegur Rasulullah SAW yang berjanji dengan Abu Talib sebelum kematiannya, akan memohon pengampunan Allah terhadap bapa saudaranya itu selagi baginda tidak dilarang berbuat demikian (Sahih al-Bukhari).

Bacalah al-Fatihah, saya tak larang kerana ia adalah al-Quran, cuma dahulukan ajaran Rasulullah bersama iringan al-Fatihah. Jika itu tindakan kita maka “BERGANDA TIGA” lah pahala kita. Pahala mengikut Sunnah Rasulullah, pahala mendoakan si mati dan pahala membaca huruf al-Fatihah. Insya Allah!

Sejurus mendengar berita kematian seseorang, Baginda Rasulullah SAW akan “MENDOAKAN PENGAMPUNAN” untuk si gemulah. Lihat hadith ini:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى لَهُمْ النَّجَاشِيَّ صَاحِبَ الْحَبَشَةِ فِي الْيَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ وَقَالَ اسْتَغْفِرُوا لِأَخِيكُمْ

Ertinya: Apabila Rasulullah SAW mendapat berita kematian al-Najasyi (Raja Habsyah yang memberi perlindungan kepada umat Islam Mekah dalam Hijrah pertama), baginda lalu bersabda: AYUHLAH KAMU SEMUA MEMOHON PENGAMPUNAN ALLAH KEPADA SAUDARA KAMU ITU (Sahih al- Bukhari & Muslim).

Begitu juga doa baginda kepada Ma’iz bin Malik RA yang menyesal atas dosanya berzina. Setelah Ma’iz mati direjam baginda bersabda:

اسْتَغْفِرُوا لِمَاعِزِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ فَقَالُوا غَفَرَ اللَّهُ لِمَاعِزِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَقَدْ تَابَ تَوْبَةً لَوْ قُسِمَتْ بَيْنَ أُمَّةٍ لَوَسِعَتْهُمْ

Ertinya: MOHONLAH PENGAMPUNAN kepada Ma’iz bin Malik. Lalu para sahabat memohon semuanya: Semoga Allah mengampuni Ma’iz bin Malik. Rasulullah SAW menyambung: Ma’iz betul-betul telah bertaubat (dengan sempurna), yang jika taubatnya itu dibahagi antara satu kaum pasti mencukupi untuk mereka semua (Sahih Muslim).

Arahan ini juga terangkum dalam doa solat jenazah yang biasa kita lakukan:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ وَنَقِّهِ مِنْ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الْأَبْيَضَ مِنْ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ أَوْ مِنْ عَذَابِ النَّارِ

Ya Allah, AMPUNILAH DIA, rahmatilah dia, maafkanlah dia,  ampunilah kesalahannya, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburannya, cucilah kesalahannya dengan air, ais dan embun  sebagaimana Engkau mencuci pakaian putih dari kotoran, gantilah rumahnya dengan rumah yang lebih baik, gantilah keluarganya dengan keluarga yang lebih baik, gantilah isterinya dengan isteri yang lebih baik, hindarkanlah dari fitnah kubur dan siksa neraka (Sahih Muslim).

Selepas ini, jika terdengar berita kematian seorang Muslim, ucaplah lafaz Istirja’ (INNA LILLAH…) diikuti dengan doa pengampunan untuknya seringkas اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ – bagi mencapai pahala Sunnah.

BETULKAN YANG KURANG TEPAT, BIASAKAN YANG BETUL, hidup anda akan bahagia di bawah lembayung al-Quran dan al-Sunnah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...