Sunday, January 11, 2015

CHARLIE HEBDO-KEBODOHAN YANG MEMANGSAKAN SEMUA ORANG

CHARLIE HEBDO-KEBODOHAN YANG MEMANGSAKAN SEMUA ORANG

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Aduhai malangnya nasib umat Islam. Ada yang terlanjur melayan kebodohan si bodoh dengan kebodohan yang lebih kejam! Sungguh kobodohan kali ini turut memangsakan semua pihak, bukan Islam dan seluruh orang Islam.”

Terbaru riuh dibicarakan serangan ganas terhadap pejabat akhbar satira Charlie Hebdo di Perancis. Persoalannya, adakah logik jika dikata penyerang Muslim itu secara suka-suka datang ke pejabat Charlie Hebdo lalu menyerangnya dengan tragis? Mustahil! Tidak lain, serangan gila itu berlaku setelah hati penyerang terlebih dahulu diguris oleh pihak Charlie Hebdo dengan karikatur Rasulullah yang “SANGAT BODOH.” Gurisan itu pula bukan luka biasa, tetapi tikaman bisa yang menyentuh jantung hati umat Islam iaitu nabi Muhammad SAW yang tercinta. Allah mewartakan cinta kepada baginda adalah bukti iman sejati. Masalah penyerang pula adalah cinta mereka tidak pula dibimbing oleh ilmu dan iman.

Berikutan insiden ini umat Islam perlu sedar tentang kebodohan berganda yang menjadi punca kekalutan ini.

“Bodoh pertama” adalah kebodohan pemilik akhbar satira Charlie Hebdo yang menyindir serta memaparkan karikatur mengejek Rasulullah SAW. Banyak lagi perkara lain boleh diguraukan, mengapa ikon agama pula yang diambil? Ia seumpama bermain api yang pasti akan membakar diri, sedikit atau banyak.

“Bodoh kedua” pula adalah dakwaan balas dendam bagi pihak Rasulullah SAW oleh pihak penyerang. Tambah parah serangan bunuh terhadap 12 orang dalam insiden ini terus mencemarkan  kesucian Islam.

“Bodoh ketiga” pula adalah sikap pihak yang jahil tentang Islam, lalu menyimpulkan secara mudah MEMANG ISLAM AGAMA KEGANASAN, SEGALA PENYELESAIAN HANYALAH MELALUI MUNCUNG SENAPANG ATAU LIBASAN PEDANG.

Bodoh, jahil adalah antara musibah yang sangat bahaya kepada manusia. Kesan si bodoh sangat bahaya kerana ia memangsakan banyak pihak yang tak bersalah. Lihat bagaimana nabi Musa AS memohon kepada Allah agar baginda TIDAK DIHUKUM KERANA KEBODOHAN SESETENGAH PENGIKUTNYA:

وَاخْتَارَ مُوسَى قَوْمَهُ سَبْعِينَ رَجُلًا لِمِيقَاتِنَا فَلَمَّا أَخَذَتْهُمُ الرَّجْفَةُ قَالَ رَبِّ لَوْ شِئْتَ أَهْلَكْتَهُمْ مِنْ قَبْلُ وَإِيَّايَ أَتُهْلِكُنَا بِمَا فَعَلَ السُّفَهَاءُ مِنَّا إِنْ هِيَ إِلَّا فِتْنَتُكَ تُضِلُّ بِهَا مَنْ تَشَاءُ وَتَهْدِي مَنْ تَشَاءُ أَنْتَ وَلِيُّنَا فَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا وَأَنْتَ خَيْرُ الْغَافِرِينَ

Ertinya: Dan Nabi Musa memilih tujuh puluh orang lelaki dari kaumnya (untuk di bawa bersama ke Gunung Tursina) pada waktu yang telah kami tentukan. Maka ketika mereka digegar oleh gempa, Nabi Musa merayu dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersama-sama denganku sebelum ini. ADAKAH ENGKAU HENDAK MEMBINASAKAN KAMI DISEBABKAN APA YANG TELAH DILAKUKAN OLEH “ORANG-ORANG YANG BODOH” DI ANTARA KAMI? (Apa yang mereka telah lakukan) itu hanyalah cubaanMu. Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun (al-A’raf[7:155]).

Kebodohan Bani Isra’il dalam ayat di atas merujuk kepada permintaan mereka untuk melihat Allah dengan terang dan nyata. Mereka juga mengugut untuk kufur kepada Musa AS sekiranya permintaan mereka ditolak. Akibat kebiadaban ini, Allah memanah mereka dengan petir:

وَإِذْ قُلْتُمْ يَا مُوسَى لَنْ نُؤْمِنَ لَكَ حَتَّى نَرَى اللَّهَ جَهْرَةً فَأَخَذَتْكُمُ الصَّاعِقَةُ وَأَنْتُمْ تَنْظُرُونَ

Ertinya: Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)". Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya (al-Baqarah[2:55]).

Cukuplah “AKIBAT KEBODOHAN” pihak Charlie Hedbo melakukan provokasi menjadi pengajaran kepada umat Islam Malaysia. Banyak lagi cara lain yang lebih berhemah bagi melawan kebodohan pihak yang mencerca. Jangan tersalah langkah melayan kebodohan mereka dengan kebodohan lain kerana Islam menegah sebarang provokasi agama. Firman Allah:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Ertinya: Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan (al-An’am[6:108]).

Janganlah kita memalitkan lumpur dan selut bodoh kepada umat Islam kerana tindakan bodoh kita. Orang yang bodoh cuma nampak dari tingkap tempurung yang sempit, manakala si bijaksana pula melihat dari mata burung. Mata muslim yang bijaksana akan menganalisis, melihat dan memerhati dengan mata zahir serta mati hati sebelum bertindak bimbangkan tindakan mereka bakal memangsakan orang lain. Sekiranya kebijaksanan umat Islam berterusan dipraktikkan, Islam akan dilihat sebagai agama bijaksana dan pihak yang menentang Islam akan dilihat bodoh dan dungu dengan tindakan mereka. Percayalah tak akan runtuh gunung Islam yang penuh hikmah jika disalak oleh anjing. Letih menyalak berhentilah ia.  Ya Allah! Selamatkanlah umat Islam dari musibah kejahilan dan KEBODOHAN.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...