Saturday, January 10, 2015

BERBAGAI BAHASA DAN DIALET BUKTI KEAGUNGAN ALLAH

BERBAGAI BAHASA DAN DIALET BUKTI KEAGUNGAN ALLAH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir  Dhuha Selasa (al-Rum [30:105]) pada 3 Disember 2014. Antara isunya adalah bukti keagungan Allah pada warna dan bahasa manusia.

“Pelik! Asal sampai sahaja di Terengganu kita sudah tidak boleh makan. Kita hanya kena “MAKANG.” Bila sampai ke Utara, air pula bertukar menjadi “AYAQ.” Ketika sampai ke Pahang  awak bertukar menjadi “AOK”, saya pula menjadi “KOI.” Masuk pula Kota Bharu mengapa langsung berubah menjadi “BAKPO.”

Pernahkah kita terfikir, mengapakah dialet satu bahasa boleh berubah apabila sampai ke sesuatu tempat berbeza. Adakah hembusan angin Laut China Selatan terlalu kuat sehingga menjadikan dialet Terengganu bertambah huruf “G” di hujungnya? Adakah sempoinya angin Selat Melaka menjadikan orang Utara lembut lidah menukar huruf “R” menjadi “Q”? Adakah hembusan kabus bukit dari Banjaran Titiwangsa menyebabkan dialet Pahang juga berubah bunyinya? Mengapa? Pelik dan sangat ajaib. Apa penjelasannya yang sebenar? Allahu A’lam.

Kerencaman dialek dan bahasa bukan berlaku secara kosong. Tidak lain ia menunjukkan kehebatan Allah sebagai Pencipta manusia. Kerencaman bahasa dan dialek manusia diindahkan lagi dengan kepelbagaian rupa, warna, ragam, tabiat dan perangai mereka. Sewajibnya kepelbagaian ini menjadi sebab ketebalan iman kita kepada Allah semakin bertambah:

وَمِنْ آَيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَاتٍ لِلْعَالِمِينَ

Ertinya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan PERBEZAAN BAHASA KAMU DAN WARNA KULIT KAMU. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan (al-Rum[30:22]).

Kepelbagaian rupa, bahasa dan ragam ini menjadikan hidup manusia penuh warna dan indah. Ia menjadi sebab manusia lebih terbuka untuk saling kenal mengenal antara satu sama lain:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Ertinya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, DAN KAMI TELAH MENJADIKAN KAMU BERBAGAI BANGSA DAN BERSUKU PUAK, SUPAYA KAMU BERKENAL-KENALAN (DAN BERAMAH MESRA ANTARA SATU DENGAN YANG LAIN). SESUNGGUHNYA SEMULIA-MULIA KAMU DI SISI ALLAH IALAH ORANG YANG LEBIH TAQWANYA DI ANTARA KAMU, (BUKAN YANG LEBIH KETURUNAN ATAU BANGSANYA). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu) (al-Hujurat[49:13]).

Malang sekali ada sesetengah manusia yang menyempitkan keindahan bahasa dan warna dan menjadikannya neraca penentu kemuliaan. Mereka memuliakan diri hanya dengan TAQDIR BANGSA yang Allah tetapkan untuk mereka. Tindakan mereka seakan mencemar keadilan Allah, kerana Allah tidak akan menghukum (mulia atau hina) seseorang dengan TAQDIR BANGSA yang dikurniakannya.

Kasar bunyinya, tapi makhluk yang menyangka dirinya mulia hanya kerana unsur asalnya adalah Iblis:

قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ

Ertinya: Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah." (al-A’raf [7:12]).

Belajarlah dari Rasulullah SAW. Baginda sangat ANTARABANGSA dan terbuka. Tiada sahabat dikastakan hanya kerana bahasa atau warna yang berbeza. Siapalah lagi yang wajib jadi ikutan kita? Rasulullah SAW yang TIDAK BERWARNA atau Iblis YANG MENDAKWA DIRINYA MULIA KERANA UNSUR CIPTAANNYA? Pastinya Rasulullah adalah pilihanku.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...