Monday, December 1, 2014

NABI MUSA AS DAN KHIDIR AS 'BUKAN WALI'KERANA TIDAK MAMPU BERJALAN ATAS AIR?

NABI MUSA AS DAN KHIDIR AS "BUKAN WALI" KERANA TIDAK MAMPU BERJALAN ATAS AIR?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Kisah keajaiban Karamah para wali memang senang menarik perhatian orang ramai. Dikatakan wali itu hebat kerana hidup tanpa makan. Wali ini hebat kerana mampu berulang alik ke Mekah setiap hari. Wali itu hebat kerana mampu berjalan atas air dan bermacam lagi ceritanya.

Ketika tadabbur kisah pengembaraan ilmu nabi Musa AS dan Khidir, hati saya terfikir kisah mereka berdua yang menumpang sebuah kapal:

فَانْطَلَقَا حَتَّى إِذَا رَكِبَا فِي السَّفِينَةِ خَرَقَهَا قَالَ أَخَرَقْتَهَا لِتُغْرِقَ أَهْلَهَا لَقَدْ جِئْتَ شَيْئًا إِمْرًا (71) قَالَ أَلَمْ أَقُلْ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا (72)

Ertinya: Lalu berjalanlah keduanya sehingga APABILA MEREKA NAIK KE SEBUAH PERAHU, IA MEMBOCORKANNYA. Nabi Musa berkata: "Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar". Ia menjawab: "Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?" (al-Kahfi[18:71-72]).

Mengapa tidak Khidir dan Musa AS berjalan sahaja atas permukaan laut tanpa perlu menumpang kapal tersebut? Adakah “KEWALIAN MEREKA BERDUA” tidak cukup hebat berbanding para wali yang dikhabarkan mampu berjalan atas permukaan air? Perlu diingat, sehebat mana pun para wali yang lain, Musa AS dan Khidir yang kisah mereka kekal dalam al-Quran dan al-Sunnah jauh lebih hebat dan mulia di sisi Allah.

Jika berjalan atas air menjadi ukuran hebatnya para wali, barangkali serangga yang mampu berlari atas air termasuk dalam senarai para wali Allah? Atau jika dikata PELIK adalah petanda lain KEWALIAN, pastinya MR. BEAN yang sangat pelik kelakuannya termasuk juga dalam senarai para wali.

Lalu siapa sebenarnya wali Allah? Apakah kriteria utama yang akan menobatkan mereka sebagai wali Allah? Lihat firman Allah ini:

أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ (62) الَّذِينَ آَمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ (63) لَهُمُ الْبُشْرَى فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآَخِرَةِ لَا تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (64)

Ertinya: Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) ORANG-ORANG YANG BERIMAN SERTA MEREKA PULA SENTIASA BERTAQWA. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar (Yunus[10:62-64]).

Ringkas sahaja 2 ciri wali yang Allah sebutkan iaitu 1) ORANG YANG BERIMAN dan, 2) ORANG YANG “SENTIASA”  BERTAQWA.  Kalimah يتقون    merujuk kepada perbuatan TAQWA yang BERTERUSAN TANPA PUTUS SEHINGGA AKHIR HAYAT SI WALI.

Ada juga yang keliru mengatakan wali mesti mempunyai KARAMAH. Tahukah anda sebenarnya KARAMAH itu bercabang 2, KARAMAH MAKNAWI (wujud kekal tanpa disedari) dan KARAMAH HISSI (wujud hanya pada tangan si wali, selepas kematiannya KARAMAH ini akan hilang).

Para ulama silam yang berkekalan legasi ilmunya kepada umat Islam sehingga kiamat seperti Imam al-Syafie, Imam al-Bukhari dan sebagainya TELAH DIKURNIAI KARAMAH MAKNAWI yang disifatkan sebagai KARAMAH TERTINGGI.

Apakah manafaat agama yang kita dapat setelah mendengar cerita seorang wali mampu berjalan atas permukaan air kerana KARAMAH HISSI yang dianugerahkan kepadanya? Anda hanya kagum melopong tanpa mampu berbuat sepertinya.

Sebaliknya legasi KARAMAH MAKNAWI yang ditinggalkan para ulama akan senantiasa memberi manafaat kepada anda setiap kali anda menelaah karya mereka. Bukan setakat itu, KARAMAH MAKNAWI dari legasi ilmu mereka juga bakal melahirkan lebih ramai WALI ULAMA BERKARAMAH MAKNAWI seperti mereka. Oleh itu, jangan kagum kepada yang baik sahaja, tetapi kagumlah yang TERBAIK.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...