Tuesday, December 9, 2014

JANGAN "IYA" ATAU "NAFI" MEREKA - ITU LEBIH SELAMAT

JANGAN "IYA" ATAU "NAFI" MEREKA - ITU LEBIH SELAMAT

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (al-‘Ankabut [29:46]) pada 2 Disember 2014. Antara isunya adalah cara terbaik berinteraksi dengan ahli Kitab.

Hebat sekali Allah mendidik umat Islam dengan KalamNya yang agung. Jangan diiya atau dinafikan cakap mereka kerana kedua ekstrem tersebut boleh menjerumuskan kita kepada bahaya dosa. Bagaimana?

وَلَا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ وَقُولُوا آَمَنَّا بِالَّذِي أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَأُنْزِلَ إِلَيْكُمْ وَإِلَهُنَا وَإِلَهُكُمْ وَاحِدٌ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

Ertinya: Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan KATAKANLAH (KEPADA MEREKA): "KAMI BERIMAN KEPADA (AL-QURAN) YANG DITURUNKAN KEPADA KAMI DAN KEPADA (TAURAT DAN INJIL) YANG DITURUNKAN KEPADA KAMU; DAN TUHAN KAMI, JUGA TUHAN KAMU, ADALAH SATU; DAN KEPADANYALAH, KAMI PATUH DENGAN BERSERAH DIRI." (al-‘Ankabut[29:46]).

Setelah hijrah ke Madinah, umat Islam bergaul rapat dengan Ahli Kitab yang terlebih dahulu dianugerahkan kitab kepada mereka. Dalam sesetengah keadaan, maklumat kitab mereka mempunyai banyak persamaan dengan al-Quran. Apa peliknya? Semua kitab ini berasal dari sumber yang satu iaitu ALLAH TUHAN SEMESTA ALAM. Namun begitu, yang terjamin keaslian nama dan isinya hanyalah al-Quran, manakala kitab lain seperti Tawrat, Zabur dan Injil hanya ASLI PADA NAMANYA SAHAJA dan TIDAK LAGI TULEN PADA ISINYA.

Dalam banyak situasi, Ahli Kitab seakan berkongsi maklumat kitab mereka kepada para sahabat. Sebagai manusia bijaksana, Rasulullah memberikan panduan terbaik kepada umat Islam apabila bertembung dengan ISI KITAB TERDAHULU:

لَا تُصَدِّقُوا أَهْلَ الْكِتَابِ وَلَا تُكَذِّبُوهُمْ وَقُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ

Ertinya: Janganlah kamu membenarkan (cakap) Ahli Kitab dan jangan juga kamu dustai (cakap) mereka. Sebaliknya ucaplah “KAMI BERIMAN KEPADA (AL-QURAN) YANG DITURUNKAN KEPADA KAMI DAN KEPADA (TAURAT DAN INJIL) YANG DITURUNKAN KEPADA KAMU” (Sahih al-Bukhari).

Pelik! Mengapakah larangan sebegini boleh datang dari seorang manusia paling bijak di dunia? Mudah sahaja! Rasulullah mengajar kita agar mengambil jalan tengah kerana boleh jadi apa yang mereka sampaikan itu benar atau salah. Jika ianya benar tetapi kita dengan keras menafikannya, maka terpalitlah kita dengan dosa MENOLAK KEBENARAN dari Allah. Jika apa yang mereka sampaikan itu dusta dan tokok tambah tangan mereka, lalu kita pula MENERIMANYA maka terpalitlah juga kita dengan dosa membenarkan sesuatu pendustaan atas nama Allah. Oleh itu, cara terbaik adalah melafazkan kenyataan yang lebih umum antara kedua ekstrem tersebut.

Dalam kehidupan, banyak juga situasi yang memaksa kita berfikir, berdiam diri, tidak menyatakan pendapat secara tergesa-gesa dan tidak memihak kepada mana-mana pihak. Silap memberi pendapat bakal menjerumuskan kita ke dalam kesilapan. Lihat sahaja contoh penyebaran berbagai berita “TAK PASTI” dalam media social. Berapa ramai yang terus memberikan komentar positif atau negative tanpa usul periksa, lalu kegopohan tersebut menjadi sesalan pada kemudian hari. Hayatilah kata-kata hikmah yang dinaqalkan oleh Tabi’in tersohor Abdullah Ibn al-Mubarak:

إن لسان الحكيم من وراء قلبه ، فإذا أراد أن يقول يرجع إلى قلبه ، فإن كان له قال ، وإن كان عليه أمسك ، وإن الجاهل قلبه في طرف لسانه ، لا يرجع إلى القلب ، فما أتى على لسانه تكلم به

Ertinya: Sesungguhnya lidah si Bijaksana berada di hadapan hatinya. Apabila dia mahu berkata sesuatu dia akan merujuk kepada hatinya terlebih dahulu. Jika katanya memberi manafaat padanya barulah dia akan berkata-kata, manakala jika katanya itu akan menjadi hujah (menentangnya) dia akan menahan (lidahnya dari berbicara). Orang jahil pula hatinya berada pada hujung lidahnya. Dia tidak merujuk kepada hatinya dan apa sahaja terlintas di lidah terus dituturkan (al-Zuhdu Wa al-Raqa’iq).

Ya Allah! Kurniakan kami kebijaksanaan dalam berbicara!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...