Wednesday, December 31, 2014

HUDUD, NEGARA ISLAM DAN TANDAS ISLAM DI MASJID

HUDUD, NEGARA ISLAM DAN TANDAS ISLAM DI MASJID

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (al-Tawbah [9:108]) pada 17 Disember 2014. Antara isunya adalah pujian Allah kepada ahli Masjid Quba’ yang pembersih.

Masih terngiang-ngiang kata-kata pensyarah kami Dr. Mohd Kamil bin Abdul Majid semasa belajar di Universiti Malaya dahulu:

“Antum ni janganlah semangat sangat nak buat HUDUD atau NEGARA ISLAM. Cuba buat dulu sebuah TANDAS ISLAM di Masjid. Kalau sebuah tandas di Masjid pun tak mampu dijaga kebersihannya sehingga mencemar nama Islam, bagaimana agaknya nak laksanakan sesuatu yang jauh lebih besar dan mencabar seperti HUDUD dan NEGARA ISLAM?”

Subjek Pemikiran Islam memang mengundang percambahan idea yang luas. Ketika rancak membicarakan perihal NEGARA ISLAM dan HUDUD, para pelajar dari Kelantan kelihatan begitu totok sehingga mencerminkan Islam adalah semata-mata HUDUD. Mudah saja kami ditempelak sinis oleh beliau. Jiwa muda saya membara ingin menjawab sinis beliau, tapi apakan daya memang tandas di sesetengah masjid masih kotor dan tidak mencerminkan kemuliaan masjid. Pedas sekali pelajaran yang saya perolehi dari pensyarah kami hari itu.

Malam ini pula kelas Tafsir kami mengulas isu pembinaan dan arahan pembakaran Masjid Dhirar yang dibina oleh munafiq Madinah. Antara punca pembinaan masjid mereka adalah ingin bersaing secara tidak sihat dengan penghuni Masjid Quba’. Sebut sahaja Jemaah masjid Quba’ pujian Allah kepada mengejutkan Rasulullah SAW:

لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ

Ertinya: Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. DALAM MASJID ITU ADA ORANG-ORANG LELAKI YANG SUKA (MENGAMBIL BERAT) MEMBERSIHKAN (MENSUCIKAN) DIRINYA; DAN ALLAH MENGASIHI ORANG-ORANG YANG MEMBERSIHKAN DIRI MEREKA (ZAHIR DAN BATIN) (al-Tawbah[9:108]).

Allah memuji mereka secara khusus kerana sikap pembersih mereka ketika bersuci. Selepas selesai bersuci menggunakan batu, mereka akan menyempurnakannya dengan air (Sunan al-Tirmidhi, Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah).

Kisah pujian mereka ini jelas menunjukkan betapa masjid dan kebersihan adalah KEMBAR YANG TIDAK MUNGKIN TERPISAH. Kebersihan masjid pula bukan hanya dari sudut fizikal semata tetapi juga dari sudut rohani. Pentadbir, pengurus dan pengunjung masjid mesti ikhlas suci hatinya dan bersih fizikalnya seiring dengan kemuliaan masjid. Ini juga arahan Allah kepada nabi Ibrahim AS:

وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ مَثَابَةً لِلنَّاسِ وَأَمْنًا وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى وَعَهِدْنَا إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَنْ طَهِّرَا بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): "BERSIHKANLAH RUMAHKU (KAABAH DAN MASJID AL-HARAAM DARI SEGALA PERKARA YANG DILARANG) UNTUK ORANG-ORANG YANG BERTAWAF, DAN ORANG-ORANG YANG BERIKTIKAF (YANG TETAP TINGGAL PADANYA), DAN ORANG-ORANG YANG RUKUK DAN SUJUD" (al-Baqarah[2:125]).

Alhamdulillah kita sudah dimuliakan Allah dengan kekuatan mampu berjemaah di Masjid, lengkapkan kemuliaan itu dengan menjaga kesucian Masjid secara zahir dan batin.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...