Friday, November 28, 2014

Walau hanya 10 sen ia adalah suatu pembaziran

WALAU HANYA 10 SEN IA ADALAH SUATU PEMBAZIRAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Furqan [25:67]) pada 25 November 2014. Antara ciri hamba Allah yang dikasihiNya adalah orang yang bijak lagi adil dalam berbelanja.

Biasa didengar dialog sebegini:

“Eh, jangan membazir air! Membazir adalah saudara syaitan.”

Apabila larangan membazir diutarakan, ayat ini segera menyusul:

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

Ertinya: Sesungguhnya ORANG-ORANG YANG MEMBAZIR ITU ADALAH SAUDARA-SAUDARA SYAITAN, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya (al-Isra’[17:27]).

Syaitan adalah musuh nyata manusia semenjak azali. Musuh ini sangat bahaya lagi culas. Ada sahaja peluangnya akan ditarik manusia ke jurang neraka bersamanya. Berat sebenarnya jika wujud persaudaraan dengan syaitan seperti ayat di atas. Atas dasar BERATNYA kiasan persaudaraan dengan syaitan inilah, definisi MEMBAZIR perlu diperbetulkan. Membazir bermaksud sebarang belanja atau perbuatan yang haram dan dimurkai Allah. Walau hanya sepuluh sen diguna sebagai belanja untuk menampung perbuatan haram jelas sekali ia adalah suatu PEMBAZIRAN.

Manakala jika dibelanjakan 1 Trillion sekalipun untuk jalan Allah, IA BUKAN SUATU PEMBAZIRAN kerana sejarah merekodkan para jutawan sahabat RA memang terbukti sungguh dermawan seperti air dan tidak pula dicela Rasulullah SAW sebagai pembaziran.

Perbuatan lain yang tampak lebih ringan dari membazir adalah BERLEBIH-LEBIH atau dalam bahasa al-Quran disebut – إسراف .

يَا بَنِي آَدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Ertinya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan JANGAN PULA KAMU MELAMPAU; SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK SUKA AKAN ORANG-ORANG YANG MELAMPAUI BATAS (al-A’raf [7:31]).

Berlebih-lebih atau melampaui batas juga negatif tetapi ia jauh lebih ringan dari membazir kerana ia melibatkan lebihan belanja pada perkara yang halal. Walaupun halal, berlebihan atau melampaui batasan dalam makan dan minum bakal mengundang penyakit berbahaya. Apabila sakit menjengah, ibadah pun sukar dilakukan. Oleh itu Allah yang Maha Bijaksana mendidik manusia agar turut menjadi bijak dengan pengurusan perbelanjaan yang bijak lagi adil:

وَالَّذِينَ إِذَا أَنْفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَلِكَ قَوَامًا

Ertinya: Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, TIADALAH MELAMPAUI BATAS dan TIADA BAKHIL KEDEKUT; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah BETUL SEDERHANA DI ANTARA KEDUA-DUA CARA (BOROS DAN BAKHIL) ITU (al-Furqan[25:67]).

Dalam ayat lain, Allah menjelaskan sikap ekstrem antara dua sifat mempunyai keburukan tersendiri:

وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَى عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَحْسُورًا

Ertinya: DAN JANGANLAH ENGKAU JADIKAN TANGANMU TERBELENGGU DI LEHERMU (KIASAN KEDEKUT), DAN JANGANLAH PULA ENGKAU MENGHULURKANNYA DENGAN SEHABIS-HABISNYA (KIASAN BOROS  BERLEBIH), KERANA AKIBATNYA AKAN TINGGALAH ENGKAU DENGAN KEADAAN YANG TERCELA SERTA KERING KEPUTUSAN (al-Isra’[17:29]).

Ayuhlah kita semua menjadi bijak dalam berbelanja, makan dan minum. Tiada siapa yang mendapat faedah dari panduan ini melainkan kita sendiri. Inilah bukti kemurahan dan kasih sayang Allah yang berterusan kepada kita. Bukan setakat mencipta kita secara fizikal, Allah juga membimbing kita agar menjadi manusia terbaik dengan pengisian mental dan akhlak. Alhamdulillah!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...