Sunday, October 6, 2013

WARISAN DUNIA MANAKAH YANG PALING DIBERKATI ALLAH?


WARISAN DUNIA MANAKAH YANG PALING DIBERKATI ALLAH?


Baru-baru ini semasa menunggu kaunter pendaftaran Hospital Selayang saya sempat berkenalan dengan seorang arkitek yang bertugas di Melaka bagi menjaga Bandaraya Melaka sebagai salah satu warisan sejarah dunia yang diiktiraf UNESCO. Kejayaan sesebuah negara mendapat pengiktirafan UNESCO bagi sebarang budaya atau bangunan sebagai warisan dunia menjamin pulangan pelancongan yang agak lumayan. Maklumat ini adalah suatu ilmu baru yang saya pelajari dari arkitek tersebut. Lantas saya cuba memahami isu warisan dunia dan faedahnya kepada manusia sejagat menurut perspektif al-Quran.

Al-Quran banyak menyentuh tentang sejarah umat lampau untuk menjadi pedoman kepada umat Islam. Lihat saja firman Allah:

أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آَذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَكِنْ تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ

Ertinya: Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada (al-Hajj[22:46]).

Antara bumi yang paling diberkati Allah dan selayaknya menjadi warisan dunia untuk seluruh umat manusia adalah bumi Syam. Ia merangkumi beberapa Negara seperti Syiria, Palestin, Mesir, Arab Saudi dan Jordan. Pengiktirafan ini disebut oleh Allah dalam firmanNya:

وَأَوْرَثْنَا الْقَوْمَ الَّذِينَ كَانُوا يُسْتَضْعَفُونَ مَشَارِقَ الْأَرْضِ وَمَغَارِبَهَا الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ الْحُسْنَى عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ بِمَا صَبَرُوا وَدَمَّرْنَا مَا كَانَ يَصْنَعُ فِرْعَوْنُ وَقَوْمُهُ وَمَا كَانُوا يَعْرِشُونَ

Ertinya: Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi (Palestin) dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya. Dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi) (al-A’raf[7:137]).


Juga firman Allah:

وَنَجَّيْنَاهُ وَلُوطًا إِلَى الْأَرْضِ الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا لِلْعَالَمِينَ

Ertinya: Dan Kami selamatkan dia (Ibrahim) dan (anak saudaranya) Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia (al-Anbiya’[21:71]).

Para ulama’ Tafsir menamakan negeri serta daerah yang diberkati dalam ayat di atas sebagai bumi Syam. Syam dilimpahi keberkatan kerana kebanyakan para rasul dan kitab Allah diturunkan di sini (Tafsir Ibn Kathir).

Mencari keberkatan pada bumi ini bukanlah dengan mengambil tanahnya untuk dijadikan azimat penambah berkat atau pelaris perniagaan tetapi dengan menghayati kisah perjuangan Tawhid para Rasul yang dilahirkan pada bumi tersebut. Jika anda merancang untuk melancong ke bumi yang diberkati ini, jadikanlah ia suatu pelancongan ibadah sebagaimana firman Allah:

قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِكُمْ سُنَنٌ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

Ertinya: Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul) (Ali ‘Imran[3:137]).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...