Thursday, April 18, 2013

PENDAKWAH PERLU BIJAK MEMILIH WAKTU

PENDAKWAH PERLU BIJAK MEMILIH WAKTU

Malam ni mengajar kisah debat nabi Musa AS dengan Fir’awn dalam surah Taha. Ketika diberi peluang untuk memilih waktu pertandingan dengan ahli sihir Fir’awn, nabi Musa AS memilih waktu Duha atau awal pagi. Pemilihan ini jelas menunjukkan kebijaksanaan baginda dalam teknik dakwah kerana waktu Duha atau awal pagi adalah waktu yang segar, cerdas, nyaman dan otak senang menerima pengajaran pada waktu ini. Firman Allah:

فَلَنَأْتِيَنَّكَ بِسِحْرٍ مِثْلِهِ فَاجْعَلْ بَيْنَنَا وَبَيْنَكَ مَوْعِدًا لَا نُخْلِفُهُ نَحْنُ وَلَا أَنْتَ مَكَانًا سُوًى (58) قَالَ مَوْعِدُكُمْ يَوْمُ الزِّينَةِ وَأَنْ يُحْشَرَ النَّاسُ ضُحًى (59)

Ertinya: "Kalau demikian, sesungguhnya kami juga akan bawakan kepadamu sihir yang seperti itu untuk melawanmu! Maka tentukanlah suatu tempoh pertemuan antara kami denganmu, yang kita bersama tidak akan memungkirinya, di suatu tempat yang sesuai bagi kedua belah pihak". Nabi Musa menjawab: "Tempoh yang aku tetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan, dan hendaklah orang ramai berhimpun pada WAKTU DHUHA " (Taha[20:58-59]).

Semasa belajar di UM dengan Prof Dr Abdul Hayei, beliau mengajar pengurusan waktu dan makanan minda. Pada waktu minda sedang cerdas seperti lepas solat Subuh perlu diisi dengan bacaan yang hebat dan besar manafaatnya seperti al-Quran. Pada waktu santai dan kurang cerdas, diisi pula dengan bacaan santai seperti Akhbar dan sebagai. Jangan dibazirkan minda pada waktu yang cerdas dengan membaca bahan bacaan yang ringan dan remeh.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...