Friday, September 22, 2017

BATU PERMATA LEBIH HEBAT ATAU HAJAR ASWAD

BATU PERMATA LEBIH HEBAT ATAU HAJAR ASWAD?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Usai kuliah Maghrib bertajuk “WALI ALLAH MODEN DI NUSANTARA” (yang menyentuh sumbangan HAMKA, Datok Haji Mohammad Noor Ibrahim mantan mufti Kelantan, Syeikh Abdullah Basmeih penterjemah Tafsir Pimpinan al-Rahman dan Ustaz Ahmad Sonhaji), di Surau Nur al-Syura, Bandar Baru Selayang Fasa 2B (22 September 2016) saya disapa seorang lelaki.

Soalannya sangat menarik:

“Ustaz! Nak tanya pandangan Ustaz! Ada seorang lelaki memberikan saya sebentuk batu permata sebagai pendinding. Ketika menerimanya saya diarahkan berzikir dan berselawat. Selepas itu batu itu jatuh ke tangan saya. Lelaki itu juga pesan agar jangan taksub dengan kuasa batu permata itu, bimbang nanti jadi syirik.”

Saya bertanya padanya: “Awak rasa, batu permata yang awak dapat itu lebih hebat atau Hajarul Aswad yang melekat pada Ka’abah?”

Lelaki itu menjawab: “Mestilah Hajarul Aswad Ustaz!”

Saya menyambung: “Awak tahu apa yang dilakukan Sayyidina ‘Umar bin al-Khattab RA ketika berhadapan dengan Hajarul Aswad? Ini katanya (lalu saya menyebut sebuah hadith):

عَنْ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ جَاءَ إِلَى الْحَجَرِ الْأَسْوَدِ فَقَبَّلَهُ فَقَالَ إِنِّي أَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ لَا تَضُرُّ وَلَا تَنْفَعُ وَلَوْلَا أَنِّي رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَبِّلُكَ مَا قَبَّلْتُكَ

Ertinya: ‘Umar RA datang ke penjuru Hajar al-Aswad kemudian menciumnya seraya berkata: Sesungguhnya aku tahu engkau adalah batu yang TIDAK BOLEH MENGHALANG MUDARAT ATAU (TIDAK BOLEH) MEMBERI MANAFAAT. Jika bukan kerana aku melihat nabi SAW menciummu, aku pasti tidak akan menciummu (Sahih al-Bukhari).

Saya menyambung nasihat: “Saya bimbang jika awak simpan batu permata itu kemungkinan awak terjerumus ke dalam lubang syirik sangat tinggi. Mulanya awak anggap ia sekadar suatu usaha, tapi lama kelamaan ia boleh bertukar menjadi TUHAN YANG DIRASA MAMPU MELINDUNGI AWAK, sedangkan batu itu tidak dapat pun mempertahankan dirinya jika awak ketuk sampai hancur. Lalu mana mungkin ia melindungi awak? Logik ini banyak disebut al-Quran, antaranya:

وَيَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَنْفَعُهُمْ وَلَا يَضُرُّهُمْ وَكَانَ الْكَافِرُ عَلَى رَبِّهِ ظَهِيرًا

Ertinya: Dan mereka (yang musyrik) menyembah benda yang lain dari Allah, YANG TIDAK MEMBERI MANFAAT KEPADA MEREKA (YANG MENYEMBAHNYA) DAN TIDAK PULA MENDATANGKAN MUDARAT KEPADA MEREKA (YANG TIDAK MENYEMBAHNYA); dan orang yang kafir selalu menjadi pembantu (bagi golongannya yang kafir) untuk menderhaka kepada tuhannya (al-Furqan [25:55]).

“Allah suruh kita agar bergantung harap hanya padaNya secara terus. Itulah juga yang diajar oleh Rasulullah SAW dalam hadithnya:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَقُولُ فِي صَبَاحِ كُلِّ يَوْمٍ وَمَسَاءِ كُلِّ لَيْلَةٍ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لَمْ يَضُرَّهُ شَيْءٌ .

Ertinya: Seorang hamba yang membaca doa ini sebanyak 3 kali pada waktu pagi dan petang tidak akan ditimpa apa-apa mudarat: "Dengan nama Allah yang tidak akan memberi mudarat (bahaya dan kesusahan) bersama namaNya sesuatu apa pun baik di bumi atau (yang turun) dari langit, dan Dialah (Allah) Yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui" (Sunan al-Tirmidhi & Sunan Abu Dawud).

Sebelum berpisah lelaki itu berjanji akan menyimpan batu permata itu hanya sebagai perhiasan dan bukannya pendinding.

Setakat yang saya perhatikan modus operandi pencinta tangkal azimat dalam berbagai versinya sangat mirip dengan akidah penyembah berhala. Sesetengah mereka cuba berhujah dengan mengatakan tangkal mereka sebenarnya bersifat saintifik seperti Panadol atau ubat Hospital. Jika kita makan ubat dan yakin bahawa ubat yang menyembuhkan kita, maka IA TETAP SYIRIK.

Apa jawapan kita atas hujah mereka itu? Mudah sahaja, Islam tidak menolak aspek sains atau Sunnatullah! Ubatan hospital dihasilkan melalui proses kajian yang mendalam terhadap bahan mentah yang Allah sediakan di alam ini. Tangkal azimat pula hanya ubat khayalan yang tidak berasas serta boleh menjadi peluru syaitan untuk menembak jatuh manusia ke jurang neraka. Mohon dijauhkan Allah.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

Saturday, September 16, 2017

PENGIKUT WAHYU VS PENGIKUT NAFSU

PENGIKUT WAHYU VS PENGIKUT NAFSU

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Nota Kelas Tafsir Dhuha (al-Qasas) Selasa di Masjid Ibnu Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, 16 September 2014. Antara isunya:

Pihak Musyrikin Quraysh menolak al-Quran yang sangat ajaib isi kandungannya dan seruan dakwah Rasulullah SAW dengan berbagai alasan. Jika benar bagai dikata bahawa al-Quran adalah sebuah buku ciptaan Muhammad SAW, pasti mereka mampu menandinginya. Lalu Allah mencabar mereka agar menandingi al-Quran dengan 3 kali cabaran:

1) Mencipta sebuah al-Quran (al-Isra’[17:88]). Setelah cabaran ini tidak bersahut kerana ketidak mampuan mereka, cabaran itu diturunkan,

2) Mencipta 10 surah (Hud[11:13]). Pengurangan ini juga tidak bersahut, lalu Allah menurunkan lagi kadar cabaran,

3) Hanya mencipta SATU SURAH SETANDING AL-QURAN (al-Baqarah[2:23] & Yunus[10:38]). Cabaran ini juga tidak bersahut dan ini jelas membuktikan al-Quran adalah wahyu dan bukannya ciptaan Rasulullah SAW yang tidak tahu membaca atau menulis.

Walau tak mampu menyahut ketiga cabaran di atas, wakil Quraysh al-Nadhar bin al-Harith tetap bercakap besar seakan budak-budak (Tafsir Ibn Kathir). Seakan bunyinya “ALAH, KACANG JE NAK BUAT MACAM AL-QURAN TU, SAJA KAMI TAK MAHU MENUNJUK JE, AL-QURAN SI MUHAMMAD NI MACAM KISAH DONGENG JE.” Allah merekodkan dialog biadab ini untuk tatapan kita:

وَإِذَا تُتْلَى عَلَيْهِمْ آَيَاتُنَا قَالُوا قَدْ سَمِعْنَا لَوْ نَشَاءُ لَقُلْنَا مِثْلَ هَذَا إِنْ هَذَا إِلَّا أَسَاطِيرُ الْأَوَّلِينَ

Ertinya: Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami, mereka berkata: "Sesungguhnya kami telah mendengarnya. Kalau kami mahu, nescaya kami dapat mengatakan (kata-kata) seperti (Al-Quran) ini. (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah cerita cerita dongeng orang dahulu kala" (al-Anfal[8:31]).

Kesudahannya Allah menyimpulkan mereka ini hanya AHLI HAWA NAFSU YANG MUFLIS HUJAH. FirmanNya:

قُلْ فَأْتُوا بِكِتَابٍ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ هُوَ أَهْدَى مِنْهُمَا أَتَّبِعْهُ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (49) فَإِنْ لَمْ يَسْتَجِيبُوا لَكَ فَاعْلَمْ أَنَّمَا يَتَّبِعُونَ أَهْوَاءَهُمْ وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنِ اتَّبَعَ هَوَاهُ بِغَيْرِ هُدًى مِنَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (50)

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalau demikianlah sikap kamu maka bawalah sebuah Kitab dari sisi Allah yang dapat memberi panduan lebih daripada keduanya, supaya aku menurutnya. (Bawalah dia) jika betul kamu oorang yang benar ". Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (wahai Muhammad), MAKA KETAHUILAH, SESUNGGUHNYA MEREKA HANYALAH MENURUT HAWA NAFSU MEREKA; DAN TIDAK ADA YANG LEBIH SESAT DARIPADA ORANG YANG MENURUT HAWA NAFSUNYA DENGAN TIDAK BERDASARKAN HIDAYAH PETUNJUK DARI ALLAH. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim (yang berdegil dalam keingkarannya) (al-Qasas[28:49-50]).

Islam itu milik Allah. Sandarkan pegangan anda pada NASS DAN DALIL YANG SAHIH. Anda pasti selamat. Jika sandaran anda hanya SEBUAH IKUTAN BUTA atau DORONGAN HAWA NAFSU, anda pasti terjerumus ke dalam neraka.

Wednesday, September 13, 2017

JANGAN CEPAT HUKUM PELACUR

JANGAN CEPAT HUKUM PELACUR

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Jika ditanya, mana destinasi akhir yang mahu dituju selepas mati, semua manusia mahu ke syurga dan bukannya menjadi bahan bakar api neraka. Itu adalah harapan semua orang tanpa mengira agama, bangsa dan sikapnya. Manusia paling jahat sekalipun tetap mahu ke syurga walaupun nafas dan zikir hariannya penuh dengan kajahatan. Walaupun begitu, apa guna harapan tanpa usaha? Islam adalah agama amal dan bukti. Ia ditegakkan dengan usaha yang ikhlas dan bukan hanya angan-angan kosong:

لَيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلَا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ وَلَا يَجِدْ لَهُ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا

Ertinya: (Balasan baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Sesiapa yang melakukan kejahatan, dia akan dibalas dengan kejahatan itu, dan dia pula tidak akan mendapat - selain daripada Allah - seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya (al-Nisa’ [4:123]).

Pun begitu, ada sesetengah manusia yang nasibnya kurang baik kerana lahir dalam keluarga dan situasi yang bermasalah. Kesannya, hidup mereka tenggelam dalam kegelapan. Kenapa Allah benarkan itu berlaku sedangkan kuasa-Nya yang tidak terbatas mampu melakukan apa sahaja. Allah Yang kuasa-Nya terletak antara huruf “KAF dan NUN” كن فيكون  - JADI MAKA JADI – boleh sahaja melahirkan semua manusia dalam situasi baik, soleh dan bahagia. Adilkah Tuhan?

Allah Yang Maha Bijaksana menetapkan dunia ini adalah negeri ujian. Ada manusia diuji dengan susah agar dia sabar. Sabarnya menjadi sebab gandaan pahala untuknya. Ada yang lahir senang agar dia tahu bersyukur dan berusaha memanjangkan ni’matnya kepada yang susah. Jika rantaian orang susah dan senang ini bersambung secara stabil, takdir ciptaan Allah akan nampak cantik dan indah. Manusia pun akan menjadi manusia dan bukannya binatang kerana dalam dunia binatang yang kuat akan sentiasa membaham yang lemah. Banyak sekali firman Allah mengulas hakikat ujian hidup manusia di dunia, antaranya:

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ الْعِقَابِ وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ

Ertinya: Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi DAN MENINGGIKAN SETENGAH KAMU ATAS SETENGAHNYA YANG LAIN BEBERAPA DARJAT, KERANA DIA HENDAK MENGUJI KAMU PADA APA YANG TELAH DIKURNIAKANNYA KEPADA KAMU. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-An’am [6:165]).

Berbalik kepada tajuk kita! Ada sesetengah manusia diuji dengan kesusahan sehingga meletakkan mereka dalam lorong gelap pelacuran. Lidah dan mata zahir manusia senang sahaja menghukum mereka sebagai wanita jalang, perosak rumah tangga, pembawa wabak kotor dan sebagainya. Pernahkah kita terfikir atau bertanya apa cita-citanya ketika kecil dahulu? Adakah profesyen pelacur pernah menjadi pilihannya? Manusia waras pasti tidak akan memasukkan profesyen ini dalam senarai hidup mereka, namun situasi dan keadaan meletakkan mereka dalam lorong gelap ini. Soalnya, masih ada-kah peluang dan sinar cahaya untuk mereka?

Apa jawapannya? Cukuplah hadith ini menjadi jawapan kepada semua betapa Rahmat Allah sentiasa melimpahi hamba-Nya:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَمَا كَلْبٌ يُطِيفُ بِرَكِيَّةٍ كَادَ يَقْتُلُهُ الْعَطَشُ إِذْ رَأَتْهُ بَغِيٌّ مِنْ بَغَايَا بَنِي إِسْرَائِيلَ فَنَزَعَتْ مُوقَهَا فَسَقَتْهُ فَغُفِرَ لَهَا بِهِ

Ertinya: Abu Hurayrah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: (Pada suatu hari) seekor anjing terjelir lidahnya kerana kehausan yang hampir membunuhnya. (Kelakuan si anjing diperhatikan) seorang pelacur Bani Isra’il. Pelacur itu pun menanggalkan kasutnya lalu menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Sahih al-Bukhari).

Ada yang cuba mempertikaikan hadith ini dengan timbangan logik akal mereka: “Hadith ini tak logik menurut neraca keadilan. Masakan hanya dengan memberi minum kepada seekor anjing, dosa besar yang dilakukan si pelacur terus diampunkan Allah?”

Ada beberapa cara bagi menjawab soalan logik di atas,

1) Hadith ini adalah hadith sahih. Setelah terbukti ianya sahih, maka kita terima dengan penuh iman. Jika isinya kelihatan pelik atau tak logik, kefahaman kita yang perlu disahihkan bukannya menolak terus kalam Rasulullah SAW yang mendapat bimbingan wahyu.

2) Allah adalah Tuhan Yang Maha Pengasih. Allah bukan diktaktor yang gila menghukum. Rahmat-Nya kepada makhluk dilimpahi tanpa batas. Rahmat dan kasih sayang-Nya jauh lebih luas daripada kemurkaan-Nya. Itu dapat kita lihat daripada doa para malaikat:

الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَحْمَةً وَعِلْمًا فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

Ertinya: Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhan-Nya; dan beriman kepada-Nya; serta mereka memohon ampun bagi orang yang beriman (dengan berdoa merayu): "WAHAI TUHAN KAMI! RAHMAT-MU DAN ILMU-MU MELIPUTI SEGALANYA; maka berilah ampun kepada orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu, dan peliharalah mereka dari azab neraka (Ghafir [40:7]).

Banyak sekali contoh limpahan Rahmat Allah kepada hamba-Nya, antaranya kisah penuh syahdu daripada hadith ini:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ  عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كَانَ رَجُلٌ يُسْرِفُ عَلَى نَفْسِهِ فَلَمَّا حَضَرَهُ الْمَوْتُ قَالَ لِبَنِيهِ إِذَا أَنَا مُتُّ فَأَحْرِقُونِي ثُمَّ اطْحَنُونِي ثُمَّ ذَرُّونِي فِي الرِّيحِ فَوَاللَّهِ لَئِنْ قَدَرَ عَلَيَّ رَبِّي لَيُعَذِّبَنِّي عَذَابًا مَا عَذَّبَهُ أَحَدًا فَلَمَّا مَاتَ فُعِلَ بِهِ ذَلِكَ فَأَمَرَ اللَّهُ الْأَرْضَ فَقَالَ اجْمَعِي مَا فِيكِ مِنْهُ فَفَعَلَتْ فَإِذَا هُوَ قَائِمٌ فَقَالَ مَا حَمَلَكَ عَلَى مَا صَنَعْتَ قَالَ يَا رَبِّ خَشْيَتُكَ فَغَفَرَ لَهُ

Ertinya: Abu Hurayrah RA meriwayatkan nabi SAW pernah menceritakan sebuah kisah; Ada seorang lelaki yang selalu melampaui batas terhadap dirinya (dengan melakukan berbagai dosa). Apabila hampir mati, dia berpesan kepada anaknya; apabila aku mati kelak bakarlah jasadku kemudian tabur abu mayatku agar diterbangkan angin, kerana sesungguhnya jika Tuhan menemuiku sudah pasti Dia akan menyeksaku dengan seksaan yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun. Setelah dia mati, anaknya melaksanakan segala wasiatnya. Lalu Allah berfirman kepada bumi; "Kumpulkan segala abunya yang ada padamu (wahai bumi)." Bumi pun segera melakukan arahan Allah dan lelaki itu dihadapkan kepada Allah. Allah bertanya kepada lelaki itu (sedang Dia sudah mengetahui sebabnya): “Apa yang mendorong kamu berbuat begitu?” Lelaki itu menjawab;  "Wahai Tuhan-Ku kerana (aku terlalu) takutkan-Mu.” Berikutan jawapan itu, Allah langsung mengampunkan dosanya (Sahih al-Bukhari).

3) Jika di dunia ini kita boleh terima hak seorang raja atau sultan memberi pengampunan khusus yang boleh mengurangkan hukuman kepada pesalah, mengapa kita mahu nafikan hak yang jauh lebih hebat kepada Allah? Jika Allah terpaksa tunduk kepada hukum tanpa ada ruang budi bicara, maka kuasa ketuhanan-Nya boleh luntur. Allah sebagai Tuhan boleh menghukum makhluk atas sebarang jenayah. Allah juga sebagai Tuhan Yang Maha Pengasih boleh mengampunkan sesiapa sahaja apabila Dia mahu. Itulah kuasa Tuhan yang sebenar.  

4) Bukan semua yang melakukan dosa mahu terjebak ke dalam kancah dosa. Banyak sekali kisah kita dengar wanita yang tidak bernasib baik dipaksa menjadi pelacur. Ada yang ditipu di negara asing dan dilacurkan sehingga tiada cara untuk mereka lari atau keluar daripada kancah tersebut. Kadang-kadang mereka sudah menjadi hamba pelacuran yang pasrah kerana tak mampu melepaskan diri. Hati kecil mereka selalu berdoa agar dibebaskan daripada neraka pelacuran itu.

Perkara ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW terhadap beberapa hamba wanita yang dipaksa-lacur oleh tuannya. Firman Allah:

وَلَا تُكْرِهُوا فَتَيَاتِكُمْ عَلَى الْبِغَاءِ إِنْ أَرَدْنَ تَحَصُّنًا لِتَبْتَغُوا عَرَضَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۚ وَمَنْ يُكْرِهْهُنَّ فَإِنَّ اللَّهَ مِنْ بَعْدِ إِكْرَاهِهِنَّ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Ertinya: "DAN JANGANLAH KAMU PAKSA HAMBA PEREMPUAN KAMU MELACURKAN DIRI KETIKA MEREKA MAHU MENJAGA KEHORMATANNYA, KERANA KAMU BERKEHENDAKKAN KESENANGAN HIDUP DI DUNIA. DAN SESIAPA YANG MEMAKSA MEREKA, MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH - SESUDAH PAKSAAN YANG DILAKUKAN KEPADA MEREKA - MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI (al-Nur [24:33]).

Ayat ini mengisahkan perihal beberapa hamba wanita milik “Presiden Persatuan orang Munafik Madinah, Abdullah bin Ubay.” Dia memaksa hamba wanita miliknya keluar melacur. Selepas Islam datang, para hamba miliknya (yang dikatakan bernama Musaykah, Mu’adhah, Umaymah, ‘Amrah, Arwa dan Qutaylah) engkar arahannya. Apabila dia berkeras memaksa mereka pelacur, Allah menurunkan ayat ini (Sahih Muslim & Tafsir Ibn Kathir).

Kita adalah makhluk Allah! Usahlah kita berlagak seperti Tuhan membenci manusia berdosa yang tidak kita ketahui latar belakang masalah mereka. Jika lihat kebejatan hidup orang, doakan hidayah untuknya bukan doa laknat. Hari ini kita lihat dia kotor dan jahat tapi belum tentu lagi pengakhiran hidup kita jauh lebih baik daripadanya. Berilah harapan bukannya celaan kerana “KITA BUKAN TUHAN." Usahkan kita, Tuhan yang mencipta mereka pun sentiasa memberi harapan kepada semua hamba-Nya:

قُلْ يَاعِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ (53)

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Zumar [39:53]).

Monday, September 11, 2017

JANGAN TERTIPU DENGAN JIN

JANGAN TERTIPU DENGAN JIN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kuliah Maghrib Masjid Jamiatus Solahiah, Sungai Tua, Selayang (al-Jinn [72:6]) pada 19 Ogos 2017. Antara isunya adalah larangan meminta perlindungan daripada jin.

“Datuk Nenek! Cucu tumpang lalu, tumpang tinggal. Jangan kacau anak cucu.”

Itu dialog yang biasa diucapkan oleh sesetengah orang Melayu apabila melalui tempat yang dirasakan keras atau berpenunggu. Tujuannya tidak lain agar tuan punya tempat tidak mengganggu atau memberi mudarat kepadanya.

Benar! Kita perlu beradab ketika masuk ke tempat orang atau ke rumah orang. Allah sendiri menegaskan perkara itu:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتَّى تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَى أَهْلِهَا ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ (27)

Ertinya: Wahai orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu) (al-Nur [24:27]).

Ayat ini mengajar kita adab sosial sesama manusia dan bukannya hubungan merentas alam jin sehingga mendesak kita merendah diri meminta restu mereka. Berdiri tegak! Kita adalah khalifah Allah di bumi.

Hubungan dengan mahkluk lain perlu dijelaskan kedudukannya. Ia perlu kekal dalam hubungan makhluk dengan mahkluk dan bukan makhluk dan Pencipta. Dalam Islam Tawhid adalah tiang seri pemegang bangunan Islam. Ia perlu dijaga rapi agar tidak runtuh. Oleh itu kita perlu berhati-hati apabila ia melibatkan kepercayaan “mampu beri kesan baik atau buruk” kerana ia adalah milik mutlak Allah sesuai dengan nama-Nya – النافع  dan الضار – Allah Yang Maha Memberi Manafaat atau mendatangkan Mudarat.

Kepercayaan “benda atau makhluk” lain mampu memberi manafaat dan mudarat boleh mencalar akidah kerana pemegang akidah sedemikian beranggapan Allah sudah menswastakan sesetengah kuasa-Nya kepada makhluk! Maha Suci Allah daripada anggapan berikut. Dalam banyak ayat Allah menafikan pengkongsian ini dengan menegaskan aspek “MANAFAAT dan MUDARAT, antaranya:

وَيَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنْفَعُهُمْ وَيَقُولُونَ هَؤُلَاءِ شُفَعَاؤُنَا عِنْدَ اللَّهِ قُلْ أَتُنَبِّئُونَ اللَّهَ بِمَا لَا يَعْلَمُ فِي السَّمَاوَاتِ وَلَا فِي الْأَرْضِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ

Ertinya: Dan mereka (Musyrikin Mekah) menyembah (makhluk) selain daripada Allah, SESUATU YANG TIDAK DAPAT MENDATANGKAN MUDARAT KEPADA MEREKA DAN TIDAK DAPAT MENDATANGKAN MANFAAT KEPADA MEREKA dan mereka berkata: "Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah". Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu hendak memberitahu kepada Allah akan apa yang Dia tidak tahu adanya di langit dan di bumi (padahal Allah mengetahui segalanya)? Maha Suci Allah dan tertinggi keadaan-Nya daripada apa yang mereka sekutukan." (Yunus [10:18]).

Bukan setakat itu, dalam dakwah nabi Ibrahim AS pun baginda menegaskan isu “MANAFAAT dan MUDARAT” sebagai syarat ketuhanan. Firman Allah:

قَالَ هَلْ يَسْمَعُونَكُمْ إِذْ تَدْعُونَ (72) أَوْ يَنْفَعُونَكُمْ أَوْ يَضُرُّونَ (73)

Ertinya: Nabi Ibrahim bertanya (kaumnya): "Adakah berhala itu mendengar kamu semasa kamu menyerunya? "ATAU MEREKA DAPAT MEMBERIKAN SESUATU YANG ADA MANFAATNYA KEPADA KAMU ATAUPUN MENIMPAKAN SESUATU BAHAYA?" (al-Syu’ara’ [26:72-73]).

Berbalik kepada isu minta izin kepada makhluk ghaib yang kononnya menguasai sesuatu tempat. Ia jelas dilarang Allah dalam firman-Nya:

وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الْإِنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا

Ertinya: `Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat (al-Jinn [72:6]).

Ketika membaca Tafsir Ibn Kathir, saya jumpa sebuah riwayat yang dikaitkan dengan ayat tersebut. Ia sebuah kisah yang berlaku kepada seorang sahabat nabi  bernama Kardam bin Abi al-Sa’ib al-Ansari:

خرجت مع أبي من المدينة في حاجة، وذلك أول ما ذكر رسول الله صلى الله عليه وسلم بمكة، فآوانا المبيت إلى راعي غنم. فلما انتصف الليل جاء ذئب فأخذ حملا من الغنم، فوثب الراعي فقال: يا عامر الوادي، جارك. فنادى مناد لا نراه، يقول: يا سرحان، أرسله. فأتى الحملَ يشتد حتى دخل في الغنم لم تصبه كدمة. وأنزل الله تعالى على رسوله بمكة { وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الإنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا }
وقد يكون هذا الذئب الذي أخذ الحمل -وهو ولد الشاة-وكان جنّيا حتى يُرهب الإنسي ويخاف منه، ثم رَدَّه عليه لما استجار به، ليضله ويهينه، ويخرجه عن دينه، والله أعلم.

Ertinya: “Pada suatu hari aku bersama ayahku keluar dari Madinah untuk  suatu urusan. Ketika itu, berita mengenai kebangkitan Rasulullah SAW baru didengar di Mekah. Kami bermalam di sebuah tempat seorang pengembala kambing. Apabila malam semakin larut muncul seekor serigala lalu melarikan seekor anak kambing kecil. Si pengembala lantas bangun dan menjerit: “Wahai pemilik lembah, temanmu (itu mencuri kambingku)!” Tiba-tiba kami terdengar suatu suara (ghaib) yang tidak dapat dilihat pengucapnya berkata” “Wahai serigala! Lepaskan ia (anak kambing itu).” Tiba-tiba si anak kambing berjalan pulang kepada dalam keadaan kesakitan tanpa luka. Berikutan itu, Allah menurunkan ayat ini (6 surah al-Jinn) di Mekah.

Sebenarnya serigala yang menangkap si anak kambing itu adalah jin. Apabila pengembala meminta perlindungan dengan penunggu lembah, anak kambing dilepaskannya. Ia bertujuan menakutkan, menyesatkan dan menghina  manusia. Juga memesongkan mereka dari agama  (Tafsir Ibn Kathir).

Memohon perlindungan daripada makhluk seperti jin, syaitan, puaka atau penunggu sama seperti seorang banduan meminta bantuan dari seorang banduan lain. Jika dikata tempat itu berpenunggu, si penunggu hanyalah makhluk penumpang di bumi Allah. Jangan takut penghulu sebuah kampung kecil sedangkan kita bernaung di bawah "RAJA WILAYAH." Sepatutnya kita menggertak si penghulu kampung yang kecil itu agar jangan sombong bermaharajalela kerana kita datang dengan watikah sang RAJA WILAYAH. PENGHULU ITU PASTI KECUT PERUT BILA MENGETAHUI KITA INI ORANG RAJA.

Kenalilah Allah dengan panduan-Nya pasti kita tidak mudah ditipu oleh jin atau syaitan yang sentiasa membuat onar untuk merosakkan manusia.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu dan perkongsian berkaitan Tadabbur al-Quran di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

https://www.facebook.com/Tadabbur-Centre-432946623753927/

Dapatkan buku penulis:

http://www.telagabiru.com.my/produk/buku/fail-sulit-mimpi

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

Saturday, September 9, 2017

"ACTIONS SPEAK LOUDER THAN WORDS" VERSI NABI YUSUF

“ACTIONS SPEAK LOUDER THAN WORDS” VERSI NABI YUSUF

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Eleh! Cakap tak serupa bikin! Baiki dahulu diri sendiri sebelum nak nasihatkan orang lain.”

Itu ayat pedas lagi sentap yang biasa digunakan orang apabila si pemberi nasihat hanya pandai menasihat tapi isi nasihat tidak dijiwainya sendiri. Umpama si penjual ubat jerawat yang mukanya penuh jerawat. Mana mungkin pelanggan membeli jika diri sendiri pun belum terubat jerawatnya.

Kita akui manusia tidak sempurna, namun begitu ketidaksempurnaan seseorang tidak sepatutnya menjadi penghalang dari menyampaikan nasihat. Jika si pemberi nasihat mesti sempurna terlebih dahulu baru boleh menegur atau menasihati, maka sukarlah proses penyampaian dakwah mahu dilaksanakan. Pun begitu, akhlak mulia tetap paling utama. Ia adalah “DAKWAH SENYAP YANG SUNGGUH KUAT SUARANYA. SUARANYA MAMPU MENEROBOS MASUK KE DALAM HATI RAMAI ORANG.”

Rupanya nabi Yusuf AS antara manusia pilihan Allah yang berjaya menggunakan AKHLAK MULIA sebagai kenderaan memacu dakwah. Setelah dianiaya dan disumbat masuk ke dalam penjara Mesir, nabi Yusuf AS bertemu 2 kawannya yang bermimpi ajaib. Ia dijelaskan Allah:

وَدَخَلَ مَعَهُ السِّجْنَ فَتَيَانِ قَالَ أَحَدُهُمَا إِنِّي أَرَانِي أَعْصِرُ خَمْرًا وَقَالَ الْآخَرُ إِنِّي أَرَانِي أَحْمِلُ فَوْقَ رَأْسِي خُبْزًا تَأْكُلُ الطَّيْرُ مِنْهُ نَبِّئْنَا بِتَأْوِيلِهِ إِنَّا نَرَاكَ مِنَ الْمُحْسِنِينَ

Ertinya: Dan masuklah bersamanya ke penjara 2 orang khadam raja. Seorang dari mereka (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur ". Dan berkata pula yang seorang lagi: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung." (kemudian keduanya berkata): "Terangkanlah kepada kami akan takbirnya. SESUNGGUHNYA KAMI MEMANDANGMU: DARI ORANG YANG BERBUAT KEBAIKAN (UNTUK UMUM)" (Yusuf [12.36]).

Pengajaran penting dari ayat ini adalah frasa hujung ayat yang menyerlahkan akhlak Yusuf yang mengundang kepercayaan 2 teman sepenjaranya “SESUNGGUHNYA KAMI MEMANDANGMU: DARI ORANG YANG BERBUAT KEBAIKAN (UNTUK UMUM)."

Ketika mentafsirkan ayat ini, Imam Ibn Kathir menjelaskan nabi Yusuf AS dikenali ramai oleh semua banduan dalam penjara sebagai seorang yang sangat pemurah, amanah, bercakap benar, berakhlak mulia, banyak beribadat, pandai mentafsir mimpi, selalu berbuat baik kepada banduan lain, selalu menziarahi banduan yang sakit dan sebagainya (Tafsir Ibn Kathir). Karakter ini menjadikan ramai banduan suka berdamping dengan baginda bagi mendapat haruman akhlak mulia. Inilah sebabnya teman sepenjara baginda memuji baginda dengan frasa yang dinyatakan dalam ayat di atas.

Apa faedah terbesar dari akhlak baginda? Jika kita perhatikan ayat berikutnya (ayat 39 dan 40), baginda berjaya membuka lorong dakwah kepada 2 teman sepenjaranya itu. Memang itulah fitrah manusia, mereka lebih mudah mendengar nasihat dari orang yang mereka percaya. Samalah juga dengan penjual ubat jerawat, jika wajahnya licin mulus tanpa walau setitik pun lubang parut jerawat, pastinya para pelanggan berebut membelinya. Subhnallah! Inilah kebenaran kata-kata “ACTIONS SPEAK LOUDER THAN WORDS” dalam versi kisah nabi Yusuf AS yang wajib kita contohi. Ayuh sama-sama kita panjangkan dakwah Islam dengan  kenderaan “AKHLAK MULIA.”

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

Friday, September 8, 2017

NABI MUSA AS BERDOA AGAR TIDAK MENJADI PEMBANTU ORANG YANG JAHAT

NABI MUSA AS BERDOA AGAR TIDAK MENJADI PEMBANTU ORANG YANG JAHAT

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Qasas [28:15-17]) pada 1 September 2015. Antara isunya adalah doa nabi Musa AS agar dijauhi dari membantu orang yang zalim seperti Fir’awn atau kaki gaduh dari kalangan Bani Isra’il.

Memang bukan salah nabi Musa AS. Ia berlaku diluar kawalan baginda. Baginda langsung tidak menyangka satu tumbukan mudah dengan niat mengundurkan kemaraan si Qibti itu langsung meragut nyawanya. Rasa menyesal terus menghantui baginda kerana tersilap menyahut bantuan lelaki sebangsa baginda (Bani Isra’il) bergaduh. Kisahnya disebut dalam firman Allah ini:

وَدَخَلَ الْمَدِينَةَ عَلَى حِينِ غَفْلَةٍ مِنْ أَهْلِهَا فَوَجَدَ فِيهَا رَجُلَيْنِ يَقْتَتِلَانِ هَذَا مِنْ شِيعَتِهِ وَهَذَا مِنْ عَدُوِّهِ فَاسْتَغَاثَهُ الَّذِي مِنْ شِيعَتِهِ عَلَى الَّذِي مِنْ عَدُوِّهِ فَوَكَزَهُ مُوسَى فَقَضَى عَلَيْهِ قَالَ هَذَا مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ عَدُوٌّ مُضِلٌّ مُبِينٌ (15) قَالَ رَبِّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي فَغَفَرَ لَهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ (16)

Ertinya: Dan masuklah ia ke bandar (Mesir) dalam masa penduduknya tidak menyedarinya, lalu didapatinya di situ dua orang lelaki sedang berkelahi, - seorang dari golongannya sendiri dan yang seorang lagi dari pihak musuhnya. Maka orang yang dari golongannya meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari pihak musuhnya; “MUSA PUN MENUMBUKNYA LALU MENYEBABKAN ORANG ITU MATI.” (pada saat itu) Musa berkata: "Ini adalah dari kerja Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh yang menyesatkan, yang nyata (angkaranya) ". Ia merayu (dengan sesalnya): "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri; oleh itu ampunkanlah - apalah jua kiranya - akan dosaku". (Maka Allah Taala menerima taubatnya) lalu mengampunkan dosanya; sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Qasas[28:15-16]).

Masakan sekali tumbuk sudah meragut nyawa? Kalau begitu, jika masuk pertandingan tinju pasti Musa akan sapu bersih kejuaraannya. Itulah hakikat tenaga nabi Musa, tenaganya seorang menyamai tenaga 10 lelaki (Tafsir Ibn Kathir).

Walaupun terbukti perkasa, Musa berdoa agar kekuatannya tidak disalurkan ke lorong gelap dengan menjadi “macai atau algojo” manusia zalim:

قَالَ رَبِّ بِمَا أَنْعَمْتَ عَلَيَّ فَلَنْ أَكُونَ ظَهِيرًا لِلْمُجْرِمِينَ (17)

Ertinya: (Musa berdoa lagi): "Wahai Tuhanku, demi nikmat-nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku, (PELIHARALAH DAKU) SUPAYA AKU TIDAK AKAN MENJADI PENYOKONG KEPADA GOLONGAN YANG BERSALAH" (al-Qasas[28:17]).

Si zalim yang dimaksudkan Musa AS dalam doanya itu bukan sahaja ayah angkatnya Fir’awn, tetapi lelaki kaki gaduh dari bangsanya sendiri (Tafsir al-Qurtubi). Apa pula pengajaran untuk kita yang hidup pada zaman ini? Pada zaman ini banyak sekali kita lihat orang yang ada sedikit kekuatan tunduk membuta tuli kepada ketua yang jahat. Apa sahaja arahan ketuanya yang bersifat binatang akan dituruti bak wahyu Tuhan lalu seteru ketuanya menjadi mangsa kezaliman. Ada sahaja orang yang tak bersalah merengkok dalam penjara atau jatuh tersungkur dan teraniaya.

Berapa ramai “TEMAN SEBANGSA atau SEPARTI” sanggup menutup mata hati menyokong pendirian salah temannya atas alasan “ini hari awak, besok mungkin hari saya.” Hari ini saya jaga belakang awak walau terang-terang awak bersalah kerana esok mungkin awak pula akan menjaga belakang saya. Inilah yang dikatakan sokong membawa rebah. Rebahnya pula bukan rebah biasa tetapi rebah yang disambar api neraka:

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ

Ertinya: Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan (Hud[11:113]).

Bantulah diri kita dengan menyelamatkannya dari disambar api neraka. Bantulah juga sahabat kita yang dizalimi dan yang menzalimi orang lain. Bagaimana? Hayatilah sabda Rasulullah SAW ini:

انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا نَنْصُرُهُ مَظْلُومًا فَكَيْفَ نَنْصُرُهُ ظَالِمًا قَالَ تَأْخُذُ فَوْقَ يَدَيْهِ

Ertinya: Bantulah saudarmu yang berlaku zalim dan yang dizalimi. Para sahabat lalu bertanya: “Wahai Rasulullah! (Betul dan logik) kami bantu yang ini kerana dia dizalimi, namun begitu mana mungkin kami membantu yang berlaku zalim? Rasulullah menjawab: Bantu (si zalim) dengan menghalangnya dari berlaku zalim  (Sahih al-Bukhari).

Contohilah nabi Musa AS dalam kisah ini. Sedikit kuasa dan tenaga yang dipinjamkan Allah itu hanya sementara. Jangan relakan ia dieksploit oleh mana-mana manusia yang zalim kerana kelak ia akan menjadi sesalan berpanjangan di akhirat.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

Tuesday, September 5, 2017

CUTI SEKOLAH, GAJET DAN KURANG VITAMIN AL-QURAN

CUTI SEKOLAH, GAJET DAN KURANG VITAMIN AL-QURAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

"Tak tahu kenapa, kepala kita pening sikit ni." Rungut Ahmad Mujtaba ketika kami hampir sampai sekolahnya.

"Barangkali Mujtaba kena hujan tadi kot!" Umminya Arham Diyana Abdullah mencelah.

"Bukan! Walid tahu apa sebabnya. Mujtaba KURANG VITAMIN!" Saya menyambut perbualan.

"Kurang VITAMIN?" Mujtaba kehairanan mendengar diagnosis saya ala-ala doktor tak bertauliah.

"Ye! KURANG VITAMIN AL-QURAN!"

Mujtaba dan umminya menyambut jawapan saya dengan senyum simpul. Itu kisah semalam (4 September 2017) ketika kami sekeluarga menghantar Mujtaba  (Anak sulong saya berusia 17 tahun) ke sekolahnya Ma'ahad Integrasi Tahfiz Selangor di Alam Impian, Shah Alam, Selangor.

Saya perhatikan, ketika cuti sekolah baru-baru ini Mujtaba banyak membuat latihan pelajaran untuk persiapan SPM-nya dan kurang sedikit masanya dengan ulang kaji al-Quran.

Sebenarnya fenomena kurang mengulang kaji hafazan al-Quran bagi pelajar Tahfiz ketika musim cuti sekolah yang panjang adalah perkara biasa. Walaupun kelihatan biasa, ia sangat tidak bagus. Waktu rehat cuti sekolah banyak dihabiskan dengan rehat bersama keluarga, menonton TV dan antara musibah moden semua anak remaja sekarang ada "BERMAIN MELEBIHI MASA" segala bagai gajet moden.

Ketika berada di asrama, semua itu tidak menjadi penghalang untuk mengulang kaji al-Quran kerana alat bantu yang memesongkan perhatian pelajaran tidak wujud sama sekali.

Teringat kembali memori semasa berada di Tahun 3 Darul Quran, JAKIM pada tahun 1996 dahulu. Entah bagaimana sebuah TV sesat dibawa masuk ke asrama kami. Akibatnya helaian al-Quran yang dibaca "JATUH MENDADAK." Ada sahaja alasan diberi untuk menonton TV,  Buletin Utama-lah, rancangan agama-lah, Majalah Tiga-lah, kartun-lah, filem aksi hujung minggu-lah dan sebagainya. Terasa benar kewujudan TV menjadi "racun pemutus bekalan oksigen al-Quran" kami semua. Sudahnya atas inisiatif bersama, TV itu dibawa keluar daripada asrama kami dan  Alhamdulillah suasana syurga al-Quran kami pulih seperti biasa.

Pesan saya kepada para pelajar Tahfiz dan ibu bapa di luar sana. Kawal-lah diri anda dan kepada ibu bapa, jaga anak anda daripada bahaya gajet moden ini. Tiada salah mengikut perkembangan moden tapi perlu diingat, ia memiliki daya tarikan  magnetik yang sangat kuat. Apabila gajet sudah di tangan ketagihannya sukar diatasi dan tanpa sedar masa berlalu begitu sahaja tanpa manafaat.

Kewujudan gajet moden sebagai alat bantu belajar al-Quran sangat bagus untuk orang awam, namun ia sangat berbeza bagi para penghafaz al-Quran. Para penghafaz al-Quran perlu fokus kepada surah dan ayat yang dihafaz. Masa untuk proses ulang kaji juga perlu banyak. Dibimbangi apabila gajet sudah berada di tangan, aplikasi al-Quran bertukar wajah menjadi aplikasi lain yang melalaikan.

Pernah timbul perbincangan dalam kalangan pelajar Tahfiz sama ada perlu atau tidak, wujudnya telefon pintar pada para pelajar Tahfiz sebagai alat bantu belajar. Berbagai hujah diberi oleh pihak yang menyokong dan menentang. Murid saya Abdul Hanan yang sedang belajar di Darul Quran, JAKIM melihat kesannya.

Beliau duduk bersama seorang teman mengulang-kaji al-Quran. Hanan orang yang agak konservatif dan tidak memiliki telefon pintar, manakala temannya tidak berpisah dengan telefon pintar. Ketika Hanan sudah membaca hampir setengah juzuk al-Quran, ulang kaji  temannya selalu terganggu dengan mesej yang masuk melalui telefon pintarnya. Di akhir sesi ulangan, jumlah helaian al-Quran antara mereka berdua jauh berbeza. Nampaknya "telefon pintar semakin mengurangkan kepintaran kita semua." Sungguh! Ini adalah musibah untuk penghafaz al-Quran.

Ulang kaji hafazan adalah oksigen untuk para penghafaz al-Quran. Bukan saya kata, tapi "HAFIZ PERTAMA" al-Quran dalam sejarah umat manusia iaitu Rasulullah SAW:

إِنَّمَا مَثَلُ صَاحِبِ الْقُرْآنِ كَمَثَلِ الْإِبِلِ الْمُعَقَّلَةِ إِنْ عَاهَدَ عَلَيْهَا أَمْسَكَهَا وَإِنْ أَطْلَقَهَا ذَهَبَتْ…. وَإِذَا قَامَ صَاحِبُ الْقُرْآنِ فَقَرَأَهُ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ ذَكَرَهُ وَإِذَا لَمْ يَقُمْ بِهِ نَسِيَهُ

Ertinya: Perumpamaan para penghafaz al-Quran adalah seperti unta yang ditambat. Sekiranya dia berterusan menambatnya unta itu dapat dipegang dan sekiranya unta itu dilepaskan maka ia akan lari meninggalkan tuannya….apabila penghafaz al-Quran bangun solat dan membacanya pada waktu siang dan malam, dia akan mengingati (hafazannya) manakala jika dia mengabaikannya, dia akan lupakan hafazannya (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Atasilah ketagihan gajet moden kerana kekuatan hafazan al-Quran pada zaman moden berkait rapat dengan cara pengurusan diri dengan  godaan segala gajet moden. Mudah-mudahan mujahadah kita menjadi sebab kita dipilih Allah untuk kekal menjaga al-Quran sehingga akhir hayat sebagaimana firman Allah ini:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ (32)

Ertinya: Kemudian Kami jadikan Al- Quran itu diwarisi oleh orang yang Kami pilih dari kalangan hamba Kami; maka antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan ada yang bersikap sederhana, dan pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). (Fatir[35:32]).

Akhir sekali saya tegaskan bahawa gajet moden adalah alat pemudah cara dan bukan pemusnah kualiti hafazan anda.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...